Ini Sebab Orang Tak Boleh Duduk Layan Liga Malaysia Dan Lari

Jika saingan bola sepak tempatan merupakan sebuah entiti yang mampu bersuara, mungkin inilah tindakan sama yang akan dilakukan oleh Liga Malaysia sebagai sebuah entiti hidup.

Suasana di dalam Dewan Rakyat menjadi gamat seketika tatkala Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hendak memulakan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-14 semalam.

Ia berikutan titah bersahaja baginda meminta semua Ahli Parlimen supaya tetap berada di tempat masing-masing mendengar ucapan baginda.

Untuk Liga Malaysia, ia mungkin berbunyi begini: “Tuan Penyokong bola sepak tempatan, Tuan Presiden Persatuan dan kelab sekalian, Tuan MFL dan FAM serta Tuan Penaja sekalian, sila duduk, baca ini dan jangan lari.”

Ramadhan dan Piala Dunia 

Penyusutan jumlah penonton yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Malaysia bermula sejak Ramadhan lagi.

Ini berikutan langkah MFL yang melewatkan perlawanan kepada pukul 10 malam. Pada kebiasaannya, sepak mula perlawanan akan mengambil tempat jam 9 malam.

Jadual perlawanan yang diadakan pada hari bekerja sepanjang tempoh itu juga adalah salah satu sebab penyokong dikatakan memilih untuk menyaksikan perlawanan secara siaran langsung di kaca televisyen ataupun melalui rangkaian yang disediakan oleh iflix.

Pemain Jerman mengalami kekecewaan selepas tersingkir dalam Piala Dunia 2018.

Selepas itu, peminat bola sepak tempatan turut disajikan dengan siaran langsung Piala Dunia secara percuma oleh RTM. Jika kualiti bola sepak yang menjadi ukuran, sudah tentu saingan domestik kita masih jauh ketinggalan.

Untuk rekod, hanya 43,512 penonton yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, dan hanya sekitar 8,000 kehadiran direkodkan di 6 venue perlawanan Liga Super Malaysia dari 10 Julai sehingga 15 Julai yang lalu.

Adakah ianya berpunca dari bulan Ramadhan dan Piala Dunia semata-mata? Di mana silapnya?

Sikap penyokong

Sikap penyokong bola sepak tempatan juga merupakan salah satu punca penyusutan kehadiran di stadium perlawanan. Rata-rata daripada kita hanya hadir apabila pasukan yang disokong menang.

Bagaimana jika pasukan kita kalah? Lebih tepat lagi asyik kalah? Adakah kita sebagai penyokong tetap setia dengan pasukan kesayangan masing-masing? Sokong ketika menang, lari ketika kalah?

Kredit: Amir Rudin, Facebook.

Tulisan ini bukan untuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. Tetapi lebih kepada bentuk teguran. Bola sepak itu wajah kita. Pernahkah anda mendengar ungkapan ini?

Ia bermakna meriah atau tidak saingan bola sepak di dalam negara, ianya adalah tanggungjawab kita. Begitu juga ketika pasukan menang dan kalah. Ianya adalah tanggungjawab kita sebagai penyokong untuk memberikan sokongan demi memastikan pasukan mampu bangkit.

Buat penyokong bola sepak tanah air, ini mesej kami untuk kita semua: Sila duduk, jangan lari!

Peranan dan sikap pemain 

Pemain bola sepak di dalam negara adalah aset utama di dalam mana-mana pertandingan bola sepak di seluruh dunia.

Sebagai penyokong, sudah pasti kami mahu pemain menyajikan persembahan terbaik di atas padang.

Baru-baru ini penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri telah menyertai Nakhon Ratchasima F.C, di Liga Thailand. Kami pasti tawaran seperti yang diterima oleh Sharel tidak akan datang bergolek jika beliau tidak menunjukkan prestasi dan disiplin diri yang mantap.

Mari kita bersikap jujur dengan diri sendiri. Secara teknikal, penyokong menyedari jurang kualiti yang dimiliki oleh pemain tempatan di liga domestik berbanding bola sepak luar negara.

Tetapi apa yang penyokong mahukan ialah untuk para pemain berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri. Tidak cukup sekadar latihan harian bersama pasukan, pemain bola sepak di Liga Malaysia turut harus mempunyai inisiatif sendiri untuk pergi lebih jauh.

Berapa ramaikah di kalangan pemain yang mengambil berat aspek pemakanan sebagai seorang ahli sukan dan pemain bola sepak profesional? Berapa ramaikah di kalangan anda yang sanggup melakukan latihan khas untuk meningkatkan potensi diri?

Sikap keterbukaan menerima kritikan daripada peminat dan penyokong juga harus dijadikan kebiasaan. Usahlah cepat melenting, sebaliknya usahakan agar peningkatan mampu dilakukan.

Buat pemain, bola sepak adalah periuk nasi anda. Sila duduk dan ambil masa untuk renungkan sejenak. Jangan larikan diri dari tanggungjawab anda.

Peranan FA dan Kelab

Tidak wajar menyalahkan pemain dan penyokong semata-mata atas kehambaran saingan Liga Malaysia. Lebih daripada itu, pihak persatuan dan kelab bola sepak juga mempunyai peranan besar dalam memastikan kemeriahan liga tempatan kita.

Satu perkara yang wajib diterapkan oleh kebanyakkan FA dan kelab ialah untuk mewujudkan ‘sense of belonging’ di kalangan penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

Di dalam konteks bola sepak, sense of belonging bermaksud membenarkan penyokong merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada pasukan.

Alasannya mudah. Sebelum tajaan jutaan ringgit yang boleh dikaut daripada pelabur, penyokong adalah tulang belakang pemegang taruh utama kepada mana-mana pasukan di seluruh dunia.

Foto: FB Supporter_indomalay

Tatkala semua pihak mencanangkan mahu mutu bola sepak negara diperkasakan dari setiap aspek, bagaimana kita boleh membelakangkan hakikat ini?

Memandangkan landskap saingan bola sepak tempatan adalah berasaskan negeri, perkara ini sebenarnya tidak sesukar mana untuk dilakukan. Tidak ada penyokong bola sepak yang mahu melihat pasukan negeri masing-masing gagal. Itu fakta nyata.

Untuk berbuat demikian, cukuplah untuk FA dan kelab membuka pintu untuk mendengar suara penyokong sebagai permulaan. Itu adalah langkah paling mudah. Seterusnya, FA dan kelab turut boleh melakukan sedikit pelaburan seperti mewujudkan laman sesawang untuk penyokong mendapatkan info pemain dan pasukan misalnya.

Kami yakin setiap FA dan kelab mempunyai pegawai pemasaran masing-masing untuk menjayakan segala jenis program bersama penyokong. Soalannya, mengapa ianya tidak dilakukan? Atau berapa kerapkah usaha sedemikian dipandang serius?

Buat FA dan kelab, sila duduk, dan jangan lari.

Peranan Malaysian Football League (MFL)

Sebagai badan pentadbir bola sepak negara, kita harus akui MFL telah melakukan tugasan dan tanggungjawab dengan baik setakat ini dalam mengelolakan pertandingan liga bola sepak tempatan.

Usaha oleh MFL (dahulunya dikenali sebagai FMLLP) misalnya membolehkan setiap FA dan kelab memperolehi sehingga RM3 juta peruntukkan hasil dari keupayaan badan tadbir bola sepak negara itu menarik keyakinan pelabur.

Tetapi ini tidak bermakna tiada ruang penambahbaikkan yang boleh dilakukan demi kelancaran saingan.

Segala permasalahan sebegini hanya akan memberikan persepsi tidak baik kepada MFL yang dikenali sebagai sebuah badan profesional.

Usah risaukan mengenai keyakinan pelabur. Jika pengurusan persepsi mampu diurus tadbir dengan lebih baik di kalangan penyokong bola sepak tempatan, kami yakin ini akan meyakinkan lebih ramai pelabur di masa akan datang.

Sepertimana penyokong, persatuan dan kelab, MFL juga wajar duduk dan renungkan pandangan kami sebagai penyokong.

Peranan penyiar rasmi dan penaja

Bermula saingan musim 2018, siaran secara langsung disiarkan oleh syarikat penstriman iflix, dan turut dikongsi kepada beberapa penaja lain seperti unifi TV dan RTM.

Sebagai penaja dan penyiar rasmi, kami juga berpendapat iflix harus lebih agresif dalam melakukan promosi untuk Liga Malaysia.

Oleh kerana iflix menggunakan kaedah penstriman, langkah-langkah melakukan promosi setakat ini dilihat terhad hanya di media sosial.

Sebagai badan penyiar rasmi, kami berpendapat ianya bukan langkah promosi yang cukup agresif dari iflix setakat ini.

Pelbagai usaha termasuk pengiklanan di siaran-siaran televisyen utama negara turut harus diusahakan, selain daripada pelbagai aktiviti menarik khusus untuk penyokong.

Dengan kata lain, iflix harus mempelbagaikan kaedah promosi yang dilakukan oleh mereka demi memastikan kehangatan bola sepak tempatan tidak hanya dirasai di awal musim.

Rumusan

Artikel ini bukan bertujuan menuding jari ataupun mengkritik mana-mana pihak. Tetapi lebih kepada untuk mengajak semua pihak yang mempunyai kepentingan di dalam bola sepak negara untuk duduk bersama-sama mencari penyelesaian.

Apa guna kita terus berbalah, saling menyindir, saling berlagak sebagai pihak yang benar, tetapi tanpa usaha untuk benar-benar mahukan perubahan?

Bola sepak kita wajah kita. Sila duduk, baca ini, dan jangan lari!

 

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN