Pengumuman penyertaan bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan ke kelab liga sosial, Kelana United menjadi berita yang mengejutkan banyak pihak.
Apa tidaknya, Shukor ketika ini diketahui memegang tugas selaku penolong jurulatih Kuala Lumpur (KL) City selepas beliau mengumumkan persaraannya pada penghujung musim lalu.
Bagaimanapun beliau tidaklah dikira keluar dari persaraan memandangkan pasukan yang disertainya itu bukanlah kelab yang bersaing di Liga Profesional.
Turut diumumkan sebagai pemain baharu Kelana United adalah bekas pertahanan Kedah, Azmeer Yusof yang juga telah mengumumkan persaraannya dua tahun lalu.
Kelana United pada Ahad telah mengesahkan tempat dalam saingan Selangor Champions League selepas menumpaskan Rose FC dalam aksi playoff susulan dari kejayaan menjuarai Liga FAS Bahagian 1.
Namun apa yang menarik adalah imej kelab ini yang berjaya membawa masuk beberapa ‘nama besar’ dalam arena bola sepak negara untuk menyertai pasukan.
Ketua jurulatih Kelana United, Fairuz Montana Zainal Abidin dalam temubualnya bersama Semuanya BOLA menjelaskan penubuhan kelab ini bermula dari ‘pasukan taman’ sahaja pada 2014 sebelum ia berjaya dibentuk dengan urus tadbir yang lebih baik ketika ini.
Presidennya, Datuk Rosal Hazimin mempunyai wawasan untuk menjadikan kelab tersebut sebagai pentas untuk mencungkil bakat-bakat muda yang akan ‘diadun’ dengan pemain-pemain berpengalaman.
Baginya amat penting untuk menjaga kebajikan bekas-bekas pemain ini di samping menyediakan pentas untuk mereka beraksi.
Maka muncullah idea untuk menarik beberapa orang bekas pemain profesional bagi menyertai pasukan yang bermula dengan kemasukan Rudie Ramli, Azlan Zainal dan Asrarudin Putra Omar pada penghujung tahun 2019.
Sebaik sahaja industri bola sepak kembali pulih selepas pandemik, lebih ramai bekas pemain berjaya direkrut seperti Razman Roslan, Fitri Shazwan Raduwan, Fauzan Dzulkifli, Adib Aizuddin, Alafi Mahmud dan Nicholas Chan.
Bermodalkan Gandingan Skuad Juara ‘Red Giants’ 2009-2010, Terbinalah Kubu Ampuh Kelana United
Fairuz Montana sendiri merupakan bekas pemain Selangor di zaman kegemilangan Red Giants di bawah bimbingan Dollah Salleh pada tahun 2005.
Ketika ditanya mengenai ‘strategi’ Kelana United yang berjaya mempengaruhi beberapa bekas pemain profesional untuk menyertainya, jurulatih berusia 39 tahun ini percaya perwatakannya yang mudah bersahabat menjadi ‘senjata utama’.
“Apa yang penting adalah bagaimana kita mengekalkan silaturrahim dengan kawan-kawan,” ujar Fairuz Montana yang pernah membantu skuad Remaja Malaysia menjuarai Nik International Premier Cup Asia Pasific Regional pada tahun 1998.
“Saya bukanlah sesiapa, tetapi saya yakin perwatakan saya yang ‘gila-gila’ dan mudah mesra ini membantu untuk meyakinkan mereka. Majoriti pemain-pemain ini pernah bermain dengan saya. Malah Razman [Roslan] adalah rakan sebilik saya satu masa dahulu.
“Jadi ini cabaran buat saya bagaimana untuk uruskan mereka sebagai jurulatih, tentunya tidak mudah. Tapi Alhamdulillah di dalam padang mereka hormat saya sebagai jurulatih walaupun kami pernah berkawan cukup lama.”
Ketika ditanya mengenai persepsi orang luar yang melihat Kelana United terlalu ‘agresif’ mendapatkan bekas pemain profesional dan dianggap ‘syok sendiri’ dalam liga sosial, Fairuz Montana menegaskan perkembangan tersebut patut dilihat dari sudut yang positif.
“Sebenarnya ia akan menjadikan liga sosial ini lebih menarik. Malah setiap pasukan yang akan menentang Kelana United akan memberikan persembahan terbaik apabila berdepan dengan pemain-pemain ‘bintang’ ini,” tambahnya lagi.
“Pengalaman pemain-pemain ini juga penting buat pemain muda yang perlu mengambil peluang terbaik untuk dapatkan sebanyak mungkin ilmu daripada pemain ‘senior’ untuk menjadi matang dan tarik perhatian kelab-kelab di luar sana.”