Bermodalkan Gandingan Skuad Juara ‘Red Giants’ 2009-2010, Terbinalah Kubu Ampuh Kelana United

Selangor 2009 2010 Kelana United 2022

Kelana United mungkin sedikit asing buat kita, namun siapa yang mampu lupakan skuad Selangor yang menjuarai saingan Liga Super 2010 – tahun terakhir ‘Red Giants’ menjuarai saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga M).

Tahun tersebut juga membawa ingatan kita kepada tahun bermulanya kebangkitan Kelantan – muncul naib juara liga, yang kemudian mengambil alih teraju takhta liga daripada Selangor dalam dua edisi liga seterusnya. Selain itu, ia mengingatkan kita tentang Pahang yang kekal bersaing di Liga Super waima telah tersingkir ke Liga Premier pada penutup musim 2009.

Mengapa Kelana United mengimbau kita kepada skuad juara liga 2009 dan 2010 itu? Berdasarkan perkongsian senarai penjaring terbanyak skuad tersebut dalam saingan Liga FAS – Bahagian 1 ini, tentunya para pembaca sudah boleh senaraikan pemain yang pernah menganggotai skuad ‘Red Giants’ pada dua musim itu. Penghias poster pun sudah terkenal!

Nama yang tidak asing buat penyokong Selangor

Mendahului carta penjaring buat Kelana United saat ini adalah Razman Roslan iaitu bek kanan Selangor pada ketika itu. Bersama skuad ini, Razman masih bermain di posisi pertahanan, namun tetap mencuri tumpuan dengan tujuh jaringan peribadi mengatasi pemain-pemain lain.

Kita juga dapat melihat nama rakan sepasukannya ketika itu iaitu Fitri Shazwan Raduwan yang mengekori rapat di belakangnya dengan tiga gol dan gandingannya di benteng, Asrarudin Putra Omar dengan dua gol.

Nama-mana ini tentunya tidak asing di kalangan penyokong Selangor. Malah, Adib Aizuddin yang telah meledak dua gol juga merupakan bekas pemain Selangor cuma berbeza era iaitu bermula pada musim 2012.

Membuat enam perubahan berbanding musim 2009, Selangor masih mengekalkan majoriti skuad yang menjuarai Liga Super 2009 antaranya Razman, Asrarudin, Khairul Anuar Baharom, Safee Sali dan Amri Yahyah. Malah, tahun tersebut juga telah menyaksikan penyertaan Safiq Rahim dari KL Plus, Bunyamin Omar (UPB-MyTeam) dan Liew Kit Kong (KM Naza).

Selangor mempertahankan kejuaraan liga dengan mengumpul 63 mata daripada 20 kemenangan, tiga keputusan seri dan tiga kekalahan. Malah mereka menjuarai perlawanan Sumbangsih – tewaskan Negeri Sembilan dan turut mara ke separuh akhir Piala FA – ditewaskan semula oleh Negeri Sembilan serta suku akhir Piala Malaysia – tewas kepada Kelantan.

Mereka hampir mengulangi pencapaian tahun sebelumnya iaitu juara ‘Double’ – juara liga dan Piala FA selain perlawanan Sumbangsih.

Kelana United dibina berasaskan skuad juara 2010?

Ia bukanlah 100 peratus skuad yang menjuarai Liga Super 2009 dan 2010, namun tiga pemain yang sering membarisi skuad utama ‘Red Giants’ saat itu membarisi Kelana United. Namun, ia tetap berasaskan skuad tersebut.

Siapa boleh lupakan Razman dan Asrarudin yang mengukuhkan posisi bek sisi selain kelincahan Fitri Shazwan yang menggerakkan jentera sayap Selangor. Mereka inilah yang menjadi asas kukuhnya Kelana United kini.

Kelana United sedang menerajui takhta Liga FAS – Bahagian 1 2022 untuk Kumpulan A dengan 24 mata maksimum hasil daripada lapan kemenangan tanpa kalah. Mereka juga kukuh di benteng dengan hanya sekali dibolosi. Mereka juga berhasil meledak 45 gol – purata hampir enam gol dalam satu-satu perlawanan yang dilalui. Statistik yang sangat mengagumkan!

Dengan memiliki nama-nama besar yang pernah bermain di Liga Malaysia selain tiga bekas pemain Selangor yang menjuarai Liga Super 2009 dan 2010, harus diakui mereka sangat ampuh. Mungkin kudrat mereka ketika ini tidak mampu lagi menghiasi saingan tertinggi Liga M tetapi sudah cukup untuk membawa cabaran pasukan seperti Kelana United di Liga FAS.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN