Sidang media mendidih yang menyaksikan Jose Mourinho seolah-olah berceramah selama 12 minit pada hujung minggu lalu berikutan kekalahan kepada Sevilla turut mendapat reaksi daripada Paul Scholes.
Tatkala ramai yang turut mengkritik Mourinho kerana perbandingan yang dilakukannya, Scholes berpendapat Mourinho turut menunjukkan kualiti yang dimiliki sebagai seorang individu dalam sidang media tersebut.
Skuad kendalian Mourinho sebelum itu tewas 2-1 kepada Sevilla di Old Trafford, sekaligus tersingkir daripada saingan UEFA Champions League selepas dua gol jaringan Wissam Ben Yedder.
Kekalahan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk dari kalangan penyokong setia The Red Devils sendiri.
Menurut Scholes, Mourinho menunjukkan kesungguhan. Apakah kesungguhan yang dimaksudkan oleh bekas pemain tengah Manchester United dan England itu?
Dalam sidang media pra perlawanan Piala FA menentang Brighton & Hove Albion pada awal pagi Ahad lalu, Mourinho meluangkan 12 minit untuk mengenang kembali pencapaian pengurus terdahulu yang turut gagal di pertandingan eropah bersama United.
Walaupun Scholes tidak menggemari babak perbandingan itu, beliau sebenarnya menggemari tempoh 12 minit tersebut dalam konteks yang lebih menyeluruh.
“Saya agak menggemari tempoh 12 minit itu,” ujar Scholes yang memiliki 11 kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan 2 kejuaraan UEFA Champions League kepada BT Sport.
“Ia menunjukkan sisi lain iaitu kesungguhan yang dimiliki oleh beliau (Mourinho). Ia membuktikan kekalahan pada Selasa lepas turut memberikan luka dan kekecewaan.”
“Saya tidak gemar akan beberapa perkara seperti perbandingan yang dilakukannya mengenai pengendali terdahulu dan pencapaian mereka sebelum ini bersama United,” jelas Scholes.
Ketika diajukan soalan sama ada beliau mahukan Mourinho kesilapan yang telah dilakukannya bersama Manchester United dalam perlawanan tersebut, ini jawapan Scholes”
“Ya. Sudah tentu itu lah perkara yang seharusnya. Dari pandangan pemain, mereka juga pasti turut kecewa. Mourinho juga harus kecewa.”
“Ia tidak cukup sekadar berkata: ‘semuanya tidak menjadi malam ini. Prestasi kami teruk dan banyak kesilapan dilakukan di setiap penjuru padang'”
“Untuk peringkat 16 pasukan terakhir di pertandingan UEFA Champions League, mereka tidak menunjukkan keupayaan sebenar, dan juga keinginan untuk benar-benar memenangi perlawanan ini.”
“Sikap, fokus dan tanggapan terhadap perlawanan tersebut adalah perkara yang paling mengecewakan dalam kekalahan tersebut,” tambah Scholes lagi.
Untuk rekod, sejak beraksi di perlawanan akhir pertandingan yang sama pada 2011, Manchester United tidak pernah melangkaui peringkat suku akhir dalam lima kempen yang disertai.
Pada musim 2011/12, skuad Red Devils gagal melepasi peringkat kumpulan selepas disingkirkan oleh Benfica dan Basel.
Musim berikutnya United melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik, tetapi disingkirkan oleh Real Madrid pimpinan Mourinho. Ia adalah keputusan perlawanan yang pengendali dari Portugal itu nyatakan tempoh hari.
Musim 2013/14 mereka disingkirkan oleh Bayern Munich di suku akhir dan gagal layak ke pertandingan eropah pada musim 2014/15 di era David Moyes.
Louis Van Gaal kemudiannya turut gagal melepasi peringkat kumpulan pertandingan yang sama pada musim 2015/16 sebelum tersingkir ke saingan Europa League hanya untuk disingkirkan Liverpool di peringkat kalah mati.
Musim lalu Mourinho membawa Manchester United menjuarai pertandingan UEFA Europa League selepas menewaskan Ajax di perlawanan akhir, sekaligus layak beraksi di UEFA Champions League pada musim ini.