Quantcast

BERITA

Lelaki Ini Dendangkan Gitar Solo ‘Perwira’, Bangkit Semangat Harimau Malaya

Tahun 2017 merupakan tahun yang setiap penyokong skuad kebangsaan negara ingin lupakan. Apa tidaknya. Tiada catatan kemenangan yang berjaya dicatatkan oleh barisan negara dalam tempoh itu.

Untuk rekod, kemenangan terakhir skuad negara di peringkat antarabangsa ialah kemenangan 3-2 ke atas Kemboja di Piala AFF Suzuki pada 2016.

Daripada lapan perlawanan yang dihadapi pada tahun lalu, hanya dua keputusan seri berjaya dicapai. Keputusan seri pertama ialah ketika mengikat skuad kebangsaan Filipina tanpa jaringan dalam perlawanan persahabatan pada Mac tahun lalu.

Kemudiannya, barisan negara yang sinonim dengan jolokan nama Harimau Malaya ini mengikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan kelayakkan Piala Asia pada September 2017 yang diadakan di Larkin.

Baki enam perlawanan menyaksikan sekadar kekalahan menghiasi kalendar keputusan skuad senior Harimau Malaya.

Ini termasuk dua kekalahan dengan jaringan 4-1 kepada Korea Utara di pusingan kelayakkan Piala Asia, tewas 2-1 masing-masing kepada Lebanon (kelayakkan Piala Asia) dan kemudiannya Syria di dalam perlawanan persahabatan.

Selain turut ditundukkan oleh Hong Kong di arena lawan dengan jaringan 2-0 pada Oktober lalu, skuad negara turut dijinakkan oleh Myanmar dengan jaringan 1-0 pada Ogos 2017; petanda segalanya serba serbi tidak kena menjelang saingan pusingan kelayakkan Piala Asia yang tiba selepas itu.

Maka tidak hairanlah kedudukan ranking FIFA negara semakin merudum bulan demi bulan. Dalam kedudukan terkini yang dikemaskini oleh FIFA, Malaysia menduduki tangga ke-178 dunia- terendah di dalam sejarah bola sepak negara.

Namun kini penyokong-penyokong wajar untuk berasa optimis. Kebangkitan skuad B-23 negara di Kejohanan Piala AFC pada Januari lalu turut menjanjikan kelompok pemain baharu yang bakal menjadi tulang belakang kepada Harimau Malaya.

Panggilan 29 pemain oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe baru-baru ini turut menampilkan pemain berdarah kacukan seperti Natxo Insa dan juga Corbin-Ong, masing-masing daripada JDT.

Kedua-dua pemain ini tidak perlu diperkenalkan lagi, dan semua maklum akan kualiti yang dimiliki oleh kedua-dua pemain tersebut.

Kepulangan skuad Harimau Malaya beraksi di kandang sendiri- Stadium Nasional Bukit Jalil turut mengujakan penyokong bola sepak tanah air setelah sebelum ini Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Hang Jebat dan Stadium Shah Alam bersilih ganti menjadi kandang sementara.

Kerana itu perlawanan menentang Mongolia pada Khamis akan datang dianggap penting sebagai pembuka tirai saingan skuad negara di peringkat antarabangsa pada tahun ini.

Untuk itu, pelbagai cara sokongan turut ditampilkan oleh penyokong skuad negara menjelang perlawanan menentang Mongolia ini.

(Photo credit should read ROSLAN RAHMAN/AFP/Getty Images)

Lelaki yang dikenali sebagai Is Awok turut menampilkan cara beliau tersendiri untuk memberi sokongan kepada anak buah Tan Cheng Hoe.

Dimulakan dengan alunan keyboard diikuti oleh solo gitar yang mengasyikkan, Is Awok mendendangkan lagu Perwira yang digubah pada 1965.

Lagu tersebut dicipta oleh Datuk Ainul Jamal Abd Rahman, dan dipopularkan oleh Tan Sri P.Ramlee dalam filem berjudul Masam-Masam Manis, yang turut ditayangkan pada tahun yang sama.

Is Awok yang memuatnaik petikan solo oleh beliau di laman Facebook turut menampilkan kata-kata semangat:

“Perwiraku, teruslah berjuang βœŠπŸ»πŸ‡²πŸ‡ΎπŸ― #EKOR”

MALAYSIA vs MONGOLIA
| 22.03 | Std. Nasional Bukit Jalil | Tiket RM30

Anda boleh saksikan video Is Awok bersama lagu Perwira melalui pautan di bawah.

Sudahkah anda bersedia tampil sebagai ekor Harimau Malaya?