Pengendali Kelantan, Choi Moon-sik secara tiba-tiba telah diumumkan ‘direhatkan’ 40 minit menjelang Derbi Pantai Timur berdepan Terengganu.
Ia tentu sangat mengejutkan penyokong dan pemerhati kerana kelibatnya kelihatan masih bersama pasukan dalam sesi latihan malam tadi.
Dalam kenyataan yang dimuat naik sebelum perlawanan di media sosial pasukan, tidak dijelaskan punca pengendali tersebut telah ‘direhatkan’.
Penolong jurulatih, Rezal Zambery Yahya diberi kepercayaan untuk menjadi pengendali sementara bermula dengan perlawanan berdepan Terengganu sehingga pihak pengurusan melantik pengendali baharu buat pasukan.
Ini bermaksud yang Choi telah pun dilepaskan ‘The Red Warriors’.
“TRW Kelantan FC telah melantik Coach Rezal Zambery Yahya sebagai Caretaker sementara setelah Coach Choi Moon Sik direhatkan daripada jawatan Ketua Jurulatih bermula pada perlawanan malam ini,” memetik kenyataan itu yang dimuat naik tidak sampai sejam sebelum aksi.
“Pelantikan ini berkuat kuasa, sehingga pihak pengurusan melantik Ketua Jurulatih Kelantan FC yang baru,” tambah kenyataan itu mengenainya.
Dengan ini, Choi menjadi jurulatih pertama Liga Super yang ditunjukkan pintu keluar walaupun bukanlah pengendali yang dilihat berada dalam kedudukan untuk ‘direhatkan’ pada ketika ini selepas enam perlawanan.
Begitupun, selepas enam aksi, mereka berada di kedudukan ke-11 liga dengan hanya merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri.
Tidak dapat dipastikan situasi yang membawa kepada perkara ini.
Malah, ini berlaku selepas Kelantan sah melantik bekas pengendali UiTM, Frank Bernhardt sebagai Pengarah Teknikal pada 25 Mac yang lalu.
Namun, dalam satu muat naik oleh seseorang yang dipercayai ejen kepada jurulatih tersebut di Instagramnya, mungkin ini yang menjadi puncanya.
“Pasukan ini [Kelantan] dari luar nampak mengagumkan, tetapi dari dalam, ia sangat teruk seperti sebuah pasukan amatur. Pasukan ini ‘memecat’ jurulatih [Choi] dan memilih barisan pemain untuk perlawanan malam ini dan juga sebelum ini tanpa merujuk terus kepada pandangan jurulatih,” titipnya.
‘Selain itu, para pemain juga sudah tidak menerima gaji selama dua bulan malah ketika perlawanan di halaman lawan, mereka menaiki bas selama 10 jam dan tidak diberi makan. Segalanya tampak seperti pasukan amatur tetapi barisan jurulatih cuba memberi yang terbaik,” tambah dakwaan itu lagi.
Malah, pemilik akaun leo_jeong10 itu turut mendakwa yang barisan pemain untuk aksi berdepan Terengganu sudah dipilih oleh ‘boss’ dan ‘pengarah’ tanpa perbincangan dan ini yang membuatkan Choi bertambah kecewa.
Tambahnya, perkara ini akan dibawa ke pengetahuan FIFA selepas ini.
Choi Moon-sik telah menjadi jurulatih pertama Liga Super yang dilepaskan malah ia berlaku 40 minit sebelum aksi derbi mereka di laman lawan.