Ini Profil Ahli Badan Penyiasat Dilantik FAM & Kredibiliti Setiap Anggotanya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menubuhkan satu badan khas baru-baru ini dengan bertujuan untuk menyiasat punca merudumnya prestasi Harimau Malaya sepanjang saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung bulan lalu.

Enam orang ahli telah dilantik bagi mengetuai siasatan dan semua daripada mereka mempunyai latar belakang yang berbeza untuk mengenal pasti punca kemerosotan skuad negara dan berikut merupakan latar belakang setiap ahli Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya:

Datuk Dell Akbar Khan

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur ini mengetuai badan siasatan bebas yang ditubuhkan FAM dan mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bola sepak negara sejak tahun 1960.

Dell Akbar juga pernah mewakili PDRM dan Selangor dalam kancah bola sepak tempatan sebelum beraksi bersama skuad kebangsaan pada tahun 1968 hingga 1973. Walau bagaimanapun, pemain yang beraksi di posisi pertahanan kanan ini tidak terpilih untuk saingan Olimpik di Munich bagi aksi final.

Selepas bersara sebagi pemain bola sepak, Dell Akbar memegang beberapa jawatan penting di FAM seperti pengurus pasukan pada lewat tahun 1990 serta memegang jawatan selaku Setiausaha Agung FAM pada tahun 2000 hingga 2005.

Lebih menarik, beliau juga penah terlibat bersama saingan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sebagai Pegawai Keselamatan FIFA.

Kerjaya profesional beliau adalah seorang anggota polis pada tahun 1970 sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dan bersara sepenuhnya pada tahun 2004

.

Dato’ Alex Soosay

Dato’ Alex Soosay merupakan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Beliau juga merupakan bekas pemain bola sepak bagi Persatuan India Negeri Sembilan sebelum diubah menjadi pasukan utama negeri pada tahun 1979 hingga 1989.

Setelah itu beliau menyambung profesion selaku Setiausaha Eksekutif Negeri Sembilan sebelum dipanggil menyertai AFC pada tahun 1995 untuk merancang segala kemajuan bola sepak di peringkat Asia.

Ahmad Faedzal Md Ramli

Beliau mula dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) sejak 2019. Sebelum ini beliau berpengalaman ketika berkhidmat bersama Unit Perancang Ekonomi ayng mengendalikan akaun ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sebelum ini, Ahmad Faedzal juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota (MAKSAK) dan memiliki lesen jurulatih futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahap 1.

Sebagai rekod juga, beliau pernah mewakili Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas Raja-Raja antara tahun 2001 hingga 2003.

Ahmad Khawari Mohd Isa

Bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) ini memulakan karier beliau selaku wartawan buat Berita Harian pada tahun 1990 sebelum dilantik menjadi ketua media bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 2001 hingga 2005.

Pada penghujung 2005, Ahmad Khawari kembali bersama Berita Harian untuk kali kedua selaku wartawan sukan dan mengambil cabaran untuk menghidupkan semula SAM supaya kembali relevan dalam persada sukan.

Pada tahun 2010 sehingga tahun lalu, beliau memulakan tugas bersama Astro Arena selaku Pengarang Urusan di Jabatan Berita. Sehingga bulan 11 tahun lalu, Ahmad Khawari dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga kini sebagai Ketua Komunikasi Korporat.

Shukor Adan

Sebut sahaja nama beliau pastinya semua peminat bola sepak tempatan akan mengenali susuk tubuh pemain pertahanan tengah yang kental dan sentiasa garang di atas padang bola sepak.

Beliau baru sahaja mengumumkan persaraan diri setelah 24 tahun mengerah keringat sebagai seorang pemain bola sepak pada tahun lalu setelah cemerlang membantu Kuala Lumpur menggenggam Piala Malaysia edisi yang ke-100 pada tahun lalu.

Pemain ini juga telah membolot lima trofi Piala Malaysia sepanjang karier dan pernah menghadiahkan kejuaraan treble pada 2005 bersama pasukan Selangor.

Shukor juga antara pemain yang sangat lantang bersuara ketika di atas padang dan antara pemain yang berkebolehan selaku pengulas bola sepak.

 

Ganasegaran Suberamaniam

Bekas instruktur kejurulatihan AFC ini mempunyai pengalaman yang luas dalam melakukan penstrukturan dalam kejurulatihan yang betul buat jurulatih yang bernaung di bawah badan ini.

Beliau bertanggungjawab dalam mengeluarkan modul kejurulatihan yang bersesuaian serta menepati piawaian yang bagus untuk meningkatkan mutu jurulatih di peringkat Asia.

Selain itu, beliau juga memperkenalkan kursus instruktur mengenai futsal serta kaedah penjagaan rumput padang yang baik mengikut persekitaran di negara.

Scott O’Donell

Pengarah Teknikal Baharu bagi FAM ini mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam dunia bola sepak apabila pernah terlibat dalam bidang kejurulatihan di Singapura Kemboja sebelum ini.

O’Donell juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Capital Football, iaitu badan induk bola sepak wanita di Australia sejak 2017 sebelum menyertai FAM.

Sebelum itu, beliau juga pernah menjadi pemain bola sepak bersama Kuala Lumpur pada tahun 1994 sehingga 1995 dan setelah itu beliau beraksi di Singapura bagi mewakili Geylang United dan menjadi jurulatih di sana pada tahun 2003 hingga 2005.

Rumusan

Harapan kali ini agar badan siasatan bebas tersebut berupaya memikirkan sesuatu yang baik mengenai masa depan bola sepak negara dan telus membuat siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan prestasi skuad negara tanpa dipengaruhi sesiapa.

Rumusan dari persidangan ini juga diharap mengapa FAM mengambil tindakan dengan hanya membawa 24 pemain sahaja berbanding melengkapkan kuota penuh yang diberikan oleh pihak AFF ditambah mereka sendiri pasti menyedari dengan wabak pandemik Covid-19 ini segala kemungkinan pasti berlaku dalam kalangan pemain.

Lebih mengharukan, banyak pemain-pemain utama daripada skuad sebelum ini yang tidak dipanggil untuk mewakili negara seperti Matthew Davies dan Corbin Ong. Bagi posisi tengah agak pelik dimana hanya dua orang sahaja pemain dibawa kali ini dan terpaksa mengubah beberapa pemain lain bermain di posisi tersebut.

Keputusan FAM untuk tidak membuat persediaan rapi seperti perlawanan persahabatan membabitkan skuad negara pun tiada daalam masa terdekat untuk mencari keserasian. Hanya perlawanan menentang pasukan besar seperti Jordan dan Uzbekistan sahaja dilakukan beberapa bulan sebelum itu.

Akhir sekali, persoalan yang menjadi tanda tanya ramai pihak adalah mengapa para penyokongg perlu menunggu lebih daripada tiga minggu setelah sekembalinya skuad negara pulang ke tanah air untuk FAM bersuara?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN