Saat senarai pemain Harimau Malaya dikeluarkan, mata tertumpu kepada dua nama yang masih belum pernah lagi digugurkan daripada kesebelasan utama oleh Kim Pan-gon iaitu Dion Cools dan Syamer Kutty Abba.
Malaysia berdepan Hong Kong dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Memang kualiti pemain seperti Arif Aiman dan La’vere Corbin Ong tiada bandingan, tetapi mereka pernah dikecualikan daripada kesebelasan utama dalam tiga aksi sebelum ini.
Namun, Kim memilih untuk mengekalkan dua nama waima berdepan pasukan seperti Brunei tempoh hari. Cools dan Syamer masih kekal dalam skuad utamanya.
Kesebelasan Utama & Pemain Simpanan Harimau Malaya
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Rabu, 1 Jun 2022
⚽ MALAYSIA 🇲🇾 🆚️ 🇭🇰 HONG KONG
🕘 9.00 malam ini
🏟 Stadium Nasional, Bukit Jalil#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/UZ3UZRvFVz— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 1, 2022
Bukan hanya dikekalkan, mereka diberikan peranan berbeza dalam formasi yang berbeza diketengahkan Kim.
Sama ada formasi 3-4-3 ataupun 4-3-3, kedua-dua pemain kekal dalam pilihan utama Harimau Malaya. Untuk Cools, beliau telah beraksi di posisi pertahanan kanan dan tengah, sementara Syamer pula sebagai pemain tengah bertahan dan tengah menyerang.
Nampaknya mereka berdua masih belum gagal dalam tiga ujian sebelum ini.
Selain itu, mungkin faktor tiada pemain yang mampu menggantikan mereka menjadi faktor mereka dikekalkan.
Untuk Cools, sebenarnya, Kim boleh mencuba pemain lain yang berada di bangku simpanan. Namun, mungkin pengalamannya bermain di pentas Eropah dikehendaki oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu saat ini.
Malaysia masih memiliki Dominic Tan yang membesar dalam sistem tiga pertahanan dan Shahrul Nizam yang belum ada penampilan antarabangsa.
Matt Davies juga pernah bermain di posisi itu bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), jadi tiada masalah besar. Junior Eldstal juga boleh diturunkan tetapi mungkin tidak cergas.
Peranan Syamer dalam formasi berdepan Hong Kong ini mungkin sedikit bermasalah untuk diberikan kepada pemain yang tidak biasa iaitu ‘half-back’ atau separa pertahanan.
Bermain di posisi pemain tengah bertahan, Syamer akan turun membentuk formasi tiga pertahanan bersama Cools dan Shahrul Saad ketika Malaysia dalam fasa bertahan.
Analisis Peranan ‘Half-Back’ Syamer Kutty Abba, Tonggak Tak Didendang Ketika Tundukkan Filipina
Berdepan Hong Kong pada malam ini boleh dianggap yang Kim mungkin menurunkan kesebelasan terkuatnya.
Walaupun dilihat menguasai aksi menerusi beberapa asakan, sentuhan penyudah menjadi sebab Malaysia hanya mendahului aksi 1-0 di babak pertama. Itupun hanya menerusi sepakan penalti Safawi Rasid di minit ke-31. Malaysia seharusnya sudah memperolehi beberapa gol menerusi asakan dalam aksi babak pertama.
Dalam tiga aksi persahabatan setakat ini, Malaysia hanya dibolosi dua kali iaitu ketika tewas 1-2 kepada Singapura.
Ini membuktikan yang benteng skuad negara kurang bermasalah. Malah Cools dan Syamer, kedua-duanya mempamerkan prestasi yang baik. Berdepan Hong Kong, ujian lebih kepada keberkesanan jentera serangan.
Perlawanan persahabatan Malaysia dan Hong Kong masih berlangsung dengan aksi memasuki babak kedua.