Ini Macamlah Derbi! Beberapa Adegan Panas & Terjahan Keras Hiasi Aksi Malaysia-Singapura

Derbi Seberang Tambak Malaysia Singapura panas Sukan SEA 2021

Pemain-pemain muda ini ada karekter – mungkin itu terjemahan berdasarkan Derbi Seberang Tambak dengan Singapura yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 2-2 di penghujung perlawanan.

Walaupun terikat, Malaysia akhirnya mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas Thailand berpesta gol ke atas Kemboja dengan keputusan 5-0 dalam aksi yang berlangsung di sebelah malam dan Singapura dihantar pulang.

Kali terakhir pertembungan dengan Singapura adalah pada Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia yang diketuai Datuk Ong Kim Swee menang 2-1 ke atas musuh ketat negara itu.

Adam Nor Azlin dan N. Thanabalan muncul sebagai penjaring dalam edisi yang Malaysia mara ke pentas final buat kali ke-4 sejak saingan ini dikhaskan buat skuad B-23 – Malaysia meraih dua pingat emas daripadanya.

Dalam edisi lalu, Malaysia hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan yang menyebabkan Kim Swee tidak disambung kontraknya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaik sahaja berakhirnya kejohanan.

Dalam aksi yang berlangsung semalam, menurut salah seorang penyokong skuad negara di Twitter, Adri, beliau berkata inilah maksud derbi yang sebenar. Walaupun mungkin ada yang tidak sependapat, namun inilah derbi.

Malaysia dan Singapura sememangnya musuh ketat sejak sekian lama – Derbi Seberang Tambak gelaran yang diberikan setiap kali kedua-dua negara bertembung dan ia menjadi kurang panas sejak kebelakangan ini.

Tetapi dalam aksi semalam, perlawanan dihiasi suasana panas semula. Dan keputusan seri yang dicatatkan adalah keputusan wajar walaupun sebenarnya Malaysia ada peluang besar untuk menang ke atas Singapura.

Sepatutnya beberapa kad merah sudah dilayangkan oleh pengadil, V. Ramchandran dari India. Menurut ciapan Adri, dua kad merah seharusnya dilayangkan kepada pemain Young Lions, sementara satu untuk kapten skuad negara, Mukhairi Ajmal yang membuat tendangan ke atas pemain Singapura, Saifullah Akhbar di minit ke-80.

Perlawanan memang dikelilingi aura panas sejak awal apabila pemain tengah Harimau Muda, Nik Akif Syahiran dilayangkan kad kuning seawal minit ke-2. Nik Akif memang diketahui pemain yang sedikit baran dan ia turut diakui bekas pengendali Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah kepada HarimauMalaya.com baru-baru ini.

Pemain-pemain Singapura memang sengaja menjentik emosi pemain baran seperti Nik Akif dan Mukhairi dalam usaha untuk ‘mengurangkan’ pemain negara. Itu sahaja pilihan yang ada untuk mereka menang.

Ia berhasil mengganggu emosi mereka, namun mujur buat skuad negara, pengadil dilihat sedikit berlembut walaupun ada berlaku ketegangan antara majoriti pemain kedua-dua pasukan di penghujung perlawanan.

Ada juga insiden-insiden panas antaranya di antara Quentin Cheng dan Nur Adam Abdullah serta Nik Akif dan Khairin Nadim dalam perlawanan yang menyaksikan tujuh kad kuning dilayangkan – lima untuk Malaysia.

https://www.youtube.com/watch?v=ONiZ1Ofjgm8

Kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 di babak pertama selepas penyerang sensasi Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin berhasil mencipta jaringan di minit ke-4, sebelum disamakan oleh Shah Shahiran, tiga minit berselang. Selepas itu, serangan balas berlaku sepanjang sejam perlawanan tersebut berjalan.

Malaysia menguasai permainan dengan melakar 43 serangan berbahaya berbanding Singapura dengan 22 serangan berbahaya. Untuk percubaan, Malaysia mencipta 19 percubaan dengan lima daripadanya tepat, sementara Singapura pula hanya mencipta tujuh percubaan dengan tiga daripadanya adalah percubaan tepat.

Sebaik sahaja Singapura memanfaatkan peluang terhad mereka dengan jaringan pada minit ke-78 menerusi Harhys Stewart, perlawanan menjadi tegang. Malaysia bangkit dengan karekter untuk mendapatkan sesuatu walaupun disertai dengan emosi yang boleh membahayakan pasukan. Hasilnya, Malaysia mendapat gol.

Faiz Amer menanduk masuk hantaran lintang Syafik Ismail di minit ke-82 untuk Malaysia kembali mengikat kedudukan. Singapura yang mahukan kemenangan berterusan menekan, sementara Malaysia juga tidak mahu kalah dalam derbi, mempamerkan aksi melawan. Inilah kemuncak kepada insiden panas di hujung aksi.

Bagi sesetengah penyokong, mereka tidak sukakannya, tetapi bagi sesetengahnya, inilah kepuasan derbi.

Begitupun, Singapura telah dihantar pulang. Keputusan seri menentang Malaysia dan kemenangan Thailand ke atas Kemboja menyaksikan Young Lions gagal mara ke peringkat separuh akhir. The Lion Sleeps Tonight!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN