Ini Kisah 4 Pemain Malaysia Yang Terawal Berkelana Ke Thai League

Pemain Malaysia Terawal Thai League

Sudah terdapat beberapa pemain Malaysia berkelana ke Thai League dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun jangan dilupa empat pemain ini.

Mereka adalah antara yang terawal beraksi di Thai League – musim 2012, namun perpindahan tersebut tidak mendapat tempat di media Malaysia.

Tidak seperti perpindahan terkini pemain kita ke Thailand sebelum ini seperti Norshahrul Idlan Talaha, Shahrel Fikri Mohd Fauzi, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan dan sebagainya yang telah mendapat liputan meluas. Barangkali, ledakan media sosial memberi perbezaan saat ini.

Perpindahan empat pemain ini mungkin kurang mendapat tempat kerana di era tersebut kurangnya penggunaan media sosial, tidak seperti ketika ini.

Mereka beraksi bersama dalam satu pasukan – Chanthaburi FC dan hanya sempat beraksi semusim di liga kedua tertinggi di Thailand pada ketika itu.

Mereka adalah Amir Omar Khata, Chun Keng Hong, Suhaidi Akmal dan Khairul Iskandar Ismail. Ini adalah sebahagian perkongsian kisah mereka.

Semuanya BOLA berjaya mendapatkan dua daripada empat pemain itu yang sudi berkongsi kisah penampilan semusim mereka di Thai League.

Chanthaburi FC Chun Keng Hong dan Khairul Iskandar
Chun Keng Hong (berdiri empat dari kiri) dan Khairul Iskandar (depan empat dari kiri) bersama kesebelasan utama Chanthaburi FC. Foto: Facebook Jimmy Kidega.
Chantaburi FC Suhaidi Akmal Amir Omar Khata
Kelihatan Suhaidi Akmal dan penjaga gol, Amir Omar Khata dalam salah satu aksi Chanthaburi FC. Foto: Facebook Jimmy Kidega.

Berpunca daripada jendela perpindahan pemain di Liga Malaysia telah ditutup dan mereka bersama-sama digugurkan pada saat akhir oleh Pos Malaysia FC, mereka telah nekad untuk mencuba nasib ke Thailand.

Hasil bantuan oleh seorang ejan, mereka dibawa ke ‘trial’ di Chanthaburi FC yang beraksi di saingan Divisyen 1 Thai League (kini Thai League 2).

Nak dijadikan rezeki kami semua, kelab tersebut sepakat untuk mengambil kami berempat,” cerita Khairul Iskandar kepada pihak kami sekitar 2017.

Berbeza dengan beberapa pemain Liga Malaysia kini, mereka telah melalui kesukaran dan terpaksa melalui sesi ‘trial’ dahulu sebelum diterima masuk.

Tidak seperti pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid yang bakal terbang ke Ratchaburi FC bersama Moussa Sidibe, ia hanya melibatkan perbincangan antara kedua-dua buah kelab sebelum ia direalisasikan.

RASMI: Moussa Sidibe ‘Teman’ Safawi Sertai Ratchaburi Musim Hadapan

Ia berbeza kerana pemain-pemain Malaysia kini sudah pun dikenali umum kemampuan mereka selain sejarah pertembungan kedua-dua pasukan di saingan AFC Champions League (ACL) yang menjadi gelanggang ‘scouting’.

Ketika ditanya mengenai perasaan ketika menyertai Chanthaburi FC, selain tidak percaya, Khairul Iskandar menyatakan ada juga terselit perasaan takut kerana pada ketika itu sedang berlaku pergolakan di selatan Thailand.

Dia turut menceritakan kesusahan mereka mendapatkan bekalan makanan kerana majoriti masyarakat di Chantaburi adalah penganut agama Buddha.

Berdasarkan data dari laman web, Thai Tour, populasi masyarakat Islam di Chanthaburi adalah 0.33%. “Susahnya adalah dari segi makan, itu perkara utama apabila beraksi di sana. Di tempat saya, masjid pun tidak nampak langsung. Hanya kami dan pemain import sahaja yang beragama Islam.” jelasnya tentang cabaran beraksi di sana selain rejim latihan yang keras.

Susah untuk beraksi di sana. Setiap hari bangun dari tidur, saya sentiasa fikir bagaimana untuk bersaing mendapatkan tempat dengan pemain tempatan mereka. Banyak perbezaan dari segi teknikal pemain dan permainan. Tempo pemainan di sana laju, pemain tempatan mereka pun berkualiti,” ujarnya lagi.

Apa perbezaan ketara antara bola sepak Thailand dan Malaysia di tahun 2012? Ini jawapan Khairul, “Liputan liga Eropah sangat sedikit berbanding liga tempatan mereka. Media di sana memainkan peranan yang sangat penting dalam mengangkat sukan bola sepak mereka ke tahap yang semakin baik ketika ini.

Chanthaburi FC Pemain Malaysia
Empat pemain Malaysia mendapat liputan akhbar di sana kerana antara yang pertama beraksi di Liga Thailand. Foto: Khairul Iskandar.

Paling menarik, di setiap negeri seperti di Chanthaburi, mereka miliki siaran televisyen tersendiri dan akan ada siaran langsung setiap perlawanan.

Di Thailand, liga mereka sudah lama agak tersusun. Menurut penjaga gol, Amir Omar Khata, beberapa aspek bola sepak di sana mungkin sama dengan Malaysia, namun banyak kelab di Thailand telah diswastakan. Penswastaan dalam erti kata sebenar, bukan hanya penjenamaan semula.

Apa yang dikatakan Amir mengenai lebih banyak kelab bertanding, ada kebenarannya. Liga Thailand merangkumi empat divisyen utama iaitu Thai League 1 (TL 1), TL 2, TL 3, dan Thailand Amateur League (Kejohanan Amatur). Berikut merupakan jumlah pasukan mengikut divisyen:

  • TL 1 – 16 pasukan
  • TL 2 – 18 pasukan
  • TL 3 – 72 pasukan
  • Thailand Amateur League – ‘Unlimited’

Ketika ini, sudah terdapat sebilangan pemain Malaysia beraksi di sana walaupun bukan dalam jumlah yang besar, namun ia dilihat konsisten. Sukar sebenarnya untuk pemain kita memecah masuk ke Thai League, begitu juga pemain Thailand yang berminat untuk datang ke Malaysia.

Mungkin antara nama besar yang berada di sana ketika ini adalah Liridon Krasniqi yang tampil bersama Khon Kaen United (Thai League 1) dan beliau akan disertai Safawi Rasid selepas ini yang akan berhijrah secara pinjaman ke Ratchaburi FC (Thai League 1). Diucapkan selamat maju jaya!

Untuk mengikuti lebih lanjut tentang kisah empat pemain itu, pembaca boleh ke artikel di bawah ini.

Kisah 4 Pemain Malaysia Yang Pernah Berkelana Ke Liga Thailand

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN