FAP Perlu Segera Cari Solusi, Ini bukanlah ‘Kiamat’ Buat Harimau Kumbang

Pulau Pinang ketika ini dilihat sedang bergelut dengan masalah dalaman yang pastinya mengganggu proses pembentukan pasukan untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Harimau Kumbang telah dua kali kehilangan Presiden tahun ini apabila Datuk Seri Nazir Ariff Munshir Ariff meletak jawatan pada Januari lalu dan diikuti oleh Zairil Khir Johari pada Oktober lalu.

Majoriti pemain-pemain pula telah mula meninggalkan pasukan selepas tiada tawaran kontrak baharu dari Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Terbaharu, pada penghujung November lalu, Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair juga telah mengambil langkah yang sama iaitu meninggalkan pasukan.

Gary Nair: Siapa akan tolong FAP?

Bercakap kepada mStar, Gary menjelaskan bahawa dia buntu dengan kemelut yang melanda bola sepak Pulau Pinang dan sudah tidak mampu untuk terus memikul tanggungjawab tersebut.

“Apa nak buat lagi? Duit ‘tak dak’. Hutang pula hampir RM4 juta. Takkan saya mahu memikul masalah ini seorang diri?” ujar Gary sambil melontarkan persoalan, siapa yang akan tolong FAP?

Zairil (berbaju biru muda) merupakan presiden baharu FAP. Gambar: FA Penang

Persoalan kepada Gary pula, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian, jumlah tajaan yang diterima FAP daripada kerajaan negeri pada musim 2017 berjumlah RM34.5 juta. Adakah jumlah tersebut masih tidak mancukupi?

Pada 2016, Utusan Malaysia telah melaporkan bahawa kos pengurusan sesebuah pasukan Liga Super untuk satu musim dianggarkan antara RM14 juta hingga RM18 juta.

Jika merujuk kepada angka yang dianggarkan oleh Utusan Malaysia itu, masih terdapat jumlah baki yang besar daripada jumlah peruntukan yang telah diterima.

Adakah ada berlaku kesilapan dalam pengurusan dana penajaan yang diterima daripada kerajaan negeri oleh FAP pada musim lalu? Jadi, persoalan sebenar adalah, di mana silapnya?

Musim bergelora bola sepak Pulau Pinang

Masih ingat petisyen yang dibuat oleh para penyokong Pulau Pinang pada awal musim lalu? Dan ianya mungkin boleh dianggap sebagai pencetus kepada segalanya.

Petisyen tersebut merujuk kepada rekaan jersi yang telah dilancarkan oleh pihak FAP kepada umum pada 13 Januari lalu. Rujuk berita yang telah dikeluarkan oleh Semuanya BOLA ini.

Petisyen penyokong berkenaan rekaan jersi.

Hasil rekaan yang kosong, kombinasi warna yang nampak ‘muram’ dan boleh dianggap sebagai rekaan tangkap muat yang telah dibuat oleh pihak FAP.

Beberapa perubahan dalaman juga berlaku dan meninggalkan impak negatif antaranya kehadiran Zairil Khir Johari sebagai pengurus pasukan dan peletakan jawatan penolong pengurus, Mohamad Nazim Ariff Nazir Ariff.

Sebelum Liga Malaysia 2017 membuka tirai, giliran Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Munshir Ariff pula mengumumkan peletakan jawatannya dan diganti oleh Zairil.

Rentetan kemelut dan masalah ini dilihat seakan-akan Pulau Pinang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi. Pastinya banyak lagi isu yang hanya penyokong Harimau Kumbang sahaja yang tahu.

Rintihan dan suara penyokong dilihat sering tidak diendahkan oleh pihak FAP menjadikan konflik ini semakin parah. Umpama retak menanti belah!

Selepas tamat musim 2017 dan Pulau Pinang akhirnya sah tersingkir ke Liga Premier, Zairil pula memilih untuk melepaskan jawatan selaku Presiden FAP.

Tindakan Gary meninggalkan pasukan mengecewakan

Walaubagaimanapun, Pemegang Amanah FAP ketika ini, Datuk Abdul Rashid Ismail jelas kecewa dengan tindakan Gary yang meninggalkan pasukan disaat sebegini.

“Sebagai Naib Presiden dan antara individu yang paling lama dalam FAP, dia seharusnya berusaha bersama seorang lagi Naib Presiden, Azizudin Shariff dan semua Ahli Majlis lain.

Bekas Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair (tengah). Foto: Utusan.

“Dia juga seharusnya menyelesaikan masalah yang dialami persatuan dan bukannya lari dengan meninggalkan tanggungjawabnya,” ujar Abdul Rashid.

Abdul Rashid turut menafikan bahawa FAP telah melantik Gary selaku pemangku presiden selepas peletakan jawatan Zairil Khir Johari pada Oktober lalu.

Bercakap kepada mStar, Abdul Rashid menjelaskan FAP tidak pernah membuat sebarang lantikan terhadap mana-mana Ahli Majlis untuk menjadi pemangku presiden.

Namun begitu, Abdul Rashid berkata Majlis FAP dalam mesyuaratnya yang lalu bersetuju memberi kuasa kepadanya selaku Pemegang Amanah persatuan itu untuk menjalankan tugas-tugas Presiden.

Persediaan untuk Liga Premier 2018

Abdul Rashid turut memaklumkan kepada mStar bahawa pihaknya telah menyiapkan dan menghantar kertas kerja kepada pihak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dan menurutnya lagi, maklum balas yang diterima pihaknya ketika ini adalah positif. Seperti kata Gary sebelum ini, FAP sememangnya bergantung penuh kepada dana kerajaan negeri.

Dan sekiranya benar kenyataan oleh Abdul Rashid, berkemungkinan besar, kerajaan negeri telah sudi untuk kembali membantu FAP mengatasi kemelut yang melanda pasukan ketika ini.

Skuad Pulau Pinang juga dilihat semakin mengecil akibat perpindahan pemain-pemain yang telah tamat kontrak pada penghujung November lalu.

Terdapat pelbagai khabar angin pada ketika ini mengenai status skuad Harimau Kumbang. Sehingga kini, belum ada berita mengenai situasi pra musim Pulau Pinang.

Salah satu sumber iaitu laman Facebook, Penang Brotherhood dilihat membuat kemaskini terbaharu memohon agar pihak FAP segera menjalankan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menyelamatkan pasukan.

Penutup

Pulau Pinang telah tersingkir ke Liga Premier selepas menamatkan musim 2017 di tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul 12 mata daripada 22 perlawanan.

Apa yang pasti, ianya bukan ‘kiamat’ buat Harimau Kumbang. Turun ke Liga Premier bukanlah penamat buat Pulau Pinang. Mesyuarat segera perlu dijalankan agar pasukan tidak terus ‘hanyut’ tanpa sebarang arah tuju.

Oleh itu, pihak pengurusan FAP perlu mencari jalan segera untuk menyelesaikan masalah ini kerana Liga Malaysia 2018 dijangka akan membuka tirainya tidak lama lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN