Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mahu kelab Bundesliga itu kembali bangkit dari kekalahan yang dialami dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah kepada Paris Saint-Germain (PSG) pagi tadi. Rummenigge ternyata tidak berpuas hati dengan kekalahan 3-0 itu.
Selepas melihat anak buah Carlo Ancelotti itu gagal untuk bangkit dari jaringan seawal minit ke-2 dari Dani Alves dan turut gagal dalam keseluruhan perlawanan bertemu Neymar dan rakan-rakan, Rummenigge melabelkan kekalahan ini sebagai ‘kekalahan yang sangat pahit’ yang tidak melambangkan ciri-ciri pasukan Bayern Munich yang sebenarnya.
”Kita perlu membicarakan soal kekalahan ini, kami perlu membuat analisis,” kata Rummenigge kepada FCBayern.tv. ”Saya rasa apa yang kami saksikan pada malam tadi adalah bukan Bayern Munich. Saya rasa kami semua bersetuju mengenainya.”
“Jika saya melihat ke kanan atau ke kiri, maka tidak ada yang salah faham atau menafsirkan yang salah, saya fikir penting untuk mengubah keadaan selepas kekalahan ini dan menunjukkan bahawa kami adalah satu pasukan yang berjaya di Eropah dan Jerman tahun lalu, di mana kita perlu meneruskannya. ”
Pengurus Bayern, Carlo Ancelotti mengenepikan Arjen Robben, Mats Hummels dan Franck Ribery dalam kesebelasan utama pasukan gergasi Jerman tersebut pada perlawanan menentang PSG pagi tadi.
Ketiga-tiga pemain tersebut diturunkan ketika perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 menentang Wolfsburg dalam saingan Bundesliga dan Ancelotti mengambil risiko dengan memulakan Javi Martinez bersama-sama Niklas Sule di bahagian pertahanan tengah serta meletakkan James Rodriguez sebagai pemain serangan di Parc des Princes.
Tetapi Ancelotti mempertahankan keputusannya dan berkata: ”Saya tidak fikir pemilihan pemain yang saya lakukan memberikan risiko buat pasukan.”
“Saya fikir banyak perkara tentang pasukan terbaik untuk bermain, saya tahu saya akan mendapat kritikan, saya fikir ia adalah barisan pemain yang baik untuk permainan ini.”
Bayern kini berada ditangga kedua kumpulan B dalam Liga Juara-Juara Eropah, berkongsi tiga mata dengan Celtic yang akan ditemui mereka pada perlawanan ke-3 dan 4 nanti. Sementara itu dalam saingan Bundesliga, Bayern akan berkunjung ke Olympiastadion Berlin untuk bertemu Hertha BSC pada Ahad nanti.
Sumber :
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-my/news/rummenigge-what-we-saw-was-not-bayern-munich/oke56b13yixl14tjr0ks2f3xq