Ini Biodata Pemain Muda Kelantan Kelahiran Alor Setar Yang Hampir Lemaskan Penang Di Bandaraya

Saat ramai menjangkakan Kelantan akan terus dilanda nasib malang pada aksi Liga Super menentang Penang, sebaliknya pula berlaku selepas pasukan tersebut hampir mencipta kejutan di Stadium Bandaraya.

Bagai satu rahmat, Kelantan yang meletakkan lima pemain muda mereka dalam kesebelasan utama berjaya memberi kesukaran buat Penang sepanjang 90 minit aksi berlangsung dengan sekadar tewas tipis 3-4 di tangan tuan rumah.

Pada perlawanan tersebut, hanya enam orang sahaja pemain senior dibawa turun dengan selebihnya pengendali Kelantan, Angel Alfredo Vera telah meletakkan hampir semua tunas muda yang kurang berpengalaman.

Antara paling mencuri tumpuan pastinya terarah kepada penyerang utama Kelantan pada perlawanan tersebut iaitu Muhammad Harith Akif Mohd Shahar yang menyarung jersi bernombor 40.

Tanpa kelibat Ismaheel Akinade, Nurshamil Ghani, serta Nuha Marong yang sebelum ini mengetuai serangan Kelantan, tampil Akif secara tiba-tiba mencipta kejutan untuk meledak dua jaringan.

Malah, penyerang muda ini juga sebenarnya hampir mencatat nama selaku penjaring hatrik di hadapan ribuan penyokong Penang pada perlawanan tersebut, sebelum percubaan beliau terkena palang gol.

Nama Akif yang sebelum ini begitu asing dalam dunia bola sepak tempatan akhirnya didedahkan oleh wartawan sukan RTM iaitu saudara Zachki Ahmad Suri di Facebook.

Menurut Zachki, penyerang muda lincah serta berbakat besar tersebut merupakan anak jati Kedah yang berasal dari Alor Setar dan kini telah pun mencecah usia 22 tahun.

“Penyerang Kelantan, Harith Akif yang meledak 2 gol ketika bertemu Penang tempohari adalah pemain daripada skuad U23 Kelantan.

“Kelahiran Alor Setar Kedah berusia 22 tahun ini juga merupakan pelajar ijazah sarjana muda Sains Sukan Uitm Shah Alam. Ayahnya, Shahar Saad aka Sharq, seorang jurutera telekomunikasi dan ibunya Dr Ayu Haswida seorang pensyarah,” jelas Zachki.

Selain itu, dilaporkan Akif juga pernah mendapat pendedahan awal dalam dunia bola sepak di England selama tiga tahun dan menyertai Akademi Leeds United sepanjang berada di sana.

“Akif pernah mendapat pendedahan awal bola sepak di England seawal usia 7 tahun ketika ibunya melanjutkan pelajaran di sana. Beliau sempat beraksi selama 3 tahun di England dan berlatih bersama Akademi Leeds United,” kata Zachki lagi.

Sekembalinya di Malaysia, Akif menyambung karier beliau dalam dunia bola sepak untuk menyertai skuad bawah 12 (B-12) Selangor serta menjurai kejohanan peringkat MSSM B-12.

“Berpendidikan menengah di Victoria Institutions KL dari Tingkatan 1 hingga 5. Kini Akif dilihat berpotensi untuk mengembangkan lagi karier bola sepak beliau ke peringkat yang lebih tinggi disamping tidak melupakan kepentingan akademik untuk masa hadapan,” kata Zachki akhir sekali sambil membayangkan pemain tersebut bakal mendapat panggilan skuad kebangsaan tidak lama lagi.

Kehadiran Akif sebenarnya merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak bertanggungjawab untuk terus membangunkan karier beliau pada tahap lebih tinggi.

Seperti diketahui, sejak beberapa tahun ini Malaysia seolah ketandusan bakat penyerang berpotensi tinggi untuk diketengahkan di pentas antarabangsa.

Bersama Kelantan yang ketika ini tidak mempunyai penyerang import, ianya merupakan satu peluang terbaik untuk jurulatih kelab tersebut terus meningkatkan potensi Akif sehingga bersedia untuk menjadi salah seorang penggempur berbisa negara.

Kami daripada Semuanya BOLA juga berharap lebih banyak kelab lain berani mengetengahkan bakat-bakat muda pada masa akan datang kerana ianya bakal menjadi aset penting buat masa depan bola sepak negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN