Menjelang aksi Liga Super minggu yang ke-16 bakal berlangsung malam esok, ada tiga perlawanan bakal berlangsung dan salah satu tumpuan diberikan kepada pertemuan antara Melaka United dan Sri Pahang.
Melaka United kini berada di tangga sembilan carta Liga Super dengan 16 mata sahaja berjaya dikutip hasil empat kemenangan dan lima kali mencatat keputusan seri.
PERLAWANAN SETERUSNYA > LIGA SUPER MALAYSIA 2022
MELAKA UNITED FC lwn SRI PAHANG FC
Dapatkan tiket awal secara online di https://t.co/Jr7H9JJKnn
🗓 Sabtu, 13 Ogos 2022
🕘 9 malam
🏟 Stadium Hang Jebat, Melaka#NextMatch #LS16#LigaSuper2022#MelakaUnitedFC2022 pic.twitter.com/573G2YCDtd— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) August 9, 2022
Rekod dua perlawanan akhir mereka menyaksikan Melaka United mencatat kemenangan besar ke atas Penang dengan keputusan 4-1, sebelum tewas di tangan Sabah 1-2.
Manakala Sri Pahang pula mempunyai jalan cerita yang berbeza apabila mereka berjaya melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam persaingan Liga Super setakat ini.
Lebih menarik, pasukan kendalian Dato’ Dollah Salleh ini juga masih belum bolos dalam tiga perlawanan terakhir mereka selain meledak tujuh gol.
Untuk aksi malam esok, dijangka pastinya sengit kerana Melaka United pastinya mahu merebut kembali tiga mata di laman sendiri, manakala Sri Pahang pula jelas mahu mempertahankan momentum kemenangan setakat ini.
Ini ada tiga pemain yang bakal diberi tumpuan menjelang aksi malam esok di Stadium Hang Jebat.
Sony Norde
Pemain yang mencetuskan serangan berbahaya buat Melaka United ini pastinya akan diberi tumpuan pada perlawanan malam esok kerana kelincahan yang dimiliki.
Sony setakat ini boleh dikatakan pemain import yang berjaya memberi impak positif secara konsisten dalam setiap perlawanan diturunkan, dan kekal menjadi kunci utama buat Melaka United.
Kelebihan pemain kebangsaan Haiti ini terletak pada skil kawalan bola yang baik, mampu membuat larian-larian deras, serta ketajamannya di hadapan gol.
Steven Rodriguez
Penyerang baharu import Sri Pahang ini dilihat tidak mengambil masa yang lama untuk mencuri perhatian para penyokong pasukan menerusi sumbangan beliau di atas padang.
Steven setakat tiga perlawanan terakhir dihadapi beliau ketika ini sudah pun meledak empat gol, dan aksi lalu ketika menentang Petaling Jaya City (PJ City), beliau turut menyumbang satu jaringan.
Manuel Hidalgo
Perancang serangan utama buat Sri Pahang ini dilihat kembali konsisten selepas berada bawah kendalian Dollah Salleh untuk beberapa perlawanan ini.
Hidalgo menjadi pemain penting buat pasukan sejak pertengahan musim lalu beliau ditandatangani menerusi kelincahan dan kreativiti dirinya dalam membuat hantaran ke depan.
Tampilnya rakan sepasukan baharu iaitu Kevin Ingreso yang beraksi di bahagian tengah, secara tidak langsung memudahkan lagi tugas Hidalgo untuk memberi fokus di bahagian atas sahaja.