Ini 3 Calon Kapten Kedah: Siapa Akan Diijazahkan Lilitan ‘Armband’ Selepas Era Baddrol Bakhtiar

Azamuddin Akil Syazwan Zainon calon kapten Kedah 2022

Penghijrahan kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar telah menyaksikan persoalan timbul di kalangan penyokong mereka tentang calon kapten untuk saingan musim depan dengan beberapa nama disebut-sebut.

Antara yang disebut adalah Syazwan Zainon, Azamuddin Akil termasuklah Rodney Calvin yang dikatakan ada ciri-ciri sebagai kapten pasukan. Tak mudah untuk menjadi ketua pasukan sebesar Kedah yang juga bakal bersaing di saingan AFC Cup 2022 nanti. Jadi, siapa akan menjadi ketua kepada skuad serba baharu ini?

Dari segi umur, jelas pemain yang lebih tua selalunya akan dilantik sebagai kapten atas pengalaman mereka. Namun, ia tidak semestinya menjadi kriteria utama seseorang kapten kerana ada juga kapten yang muda sebagaimana Selangor melantik bek kanan, Syahmi Safari yang berusia 23 tahun sebagai kapten musim lalu.

Jadi tiada masalah jika Kedah memberikan lilitan kapten kepada pemain muda, jika beliau berkemampuan untuk mengendalikan pasukan sebesar Kedah. Cuma jika pemain yang lebih muda, keutamaan adalah kepada pemain yang berasal daripada pembangunan akar umbi pasukan sebagaimana dalam kes Syahmi Safari.

Untuk kriteria ini, pemain yang dilihat boleh dijadikan pilihan adalah pemain tengah bertahan, Amirul Hisyam Awang Kechik. Pada usia 25 tahun dan memiliki pengalaman antarabangsa bersama skuad kebangsaan, mungkin beliau adalah calon yang boleh dipertimbangkan oleh pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak.

Beliau juga merupakan antara pemain paling lama berada dalam pasukan sehingga kini – sejak musim 2016.

Untuk rekod, beliau juga memiliki sifat kepimpinan kerana pernah menjadi kapten pasukan SMK TATAR (Kedah) yang menjuarai Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tiga tahun berturut-turut – sejak 2010, sebelum menyertai Harimau Muda dan turut menjadi kapten skuad muda negara. Jadi, tiada masalah buat dirinya.

Untuk pemain paling senior pula, ada dua calon boleh dipertimbangkan. Sama ada Syazwan Zainon ataupun Azamuddin Akil yang sudah sebati dengan skuad Hijau Kuning. Dari segi usia, Azamuddin Akil yang berusia 36 tahun dilihat calon utama untuk menjadi pengganti Baddrol Bakhtiar berbanding Syazwan Zainon selepas ini.

Malah, Baddrol Bakhtiar juga memberikan ‘ijazahnya’ kepada Azamuddin Akil untuk menjaga rakan-rakan sepasukan selepas penghijrahannya. Memori itu dirakam oleh penyokong tegar Kedah, MHazriq Fahimy.

Memori ‘serah tugas’ kepada Azamuddin Akil dalam kereta Myvi saat Baddrol Bakhtiar dan Azamuddin Akil ‘tumpang’ mereka pulang ke Kedah dari Johor, mungkin antara yang akan dikenang oleh Mhazriq Fahimy.

Titipnya, “Pesan Badd dlm kereta sentiasa tak putus putus – Alex [Azamuddin Akil] jaga team kita elok elok, jaga budak kita elok elok”. Itu adalah antara pesanan-pesanan terakhir kapten lagenda skuad Hijau Kuning itu.

Pengaruh Syazwan Zainon juga sebenarnya tidak boleh diketepikan. Berbanding Azamuddin Akil, Syazwan Zainon digunakan lebih dari segi minit permainan iaitu 734 minit permainan berbanding 369 minit permainan.

Beliau juga memiliki sejarah lebih lama dengan juara bertahan Piala FA itu – juara edisi 2019, yang kali terakhir dilangsungkan. Sebelum menyertai Selangor FC untuk musim 2019 dan 2020, beliau memerah keringat selama lima musim di Kedah, malah membantu Kedah meraih tiket untuk kembali ke saingan Liga Super musim 2016.

Dan dalam dua aksi persahabatan Kedah berdepan MADA FC dan skuad Piala Presiden Kedah baru-baru ini, Aidil Sharin dilihat telah memberikan lilitan kapten kepada Syazwan Zainon dan juga Azamuddin Akil.

Mungkinkah dalam aksi ketiga berdepan Respect FC pada 30 Januari ini akan menyaksikan seorang lagi calon kapten akan diberikan ruang? Adakah Amirul Hisyam akan diberikan peluang? Hanya Aidil Sharin dan barisan kejurulatihan lebih mengetahui siapa yang sesuai untuk menjadi kapten Kedah selepas era Baddrol Bakhtiar.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN