Indonesia bakal menghadapi cabaran Turkmenistan untuk aksi persahabatan Tier 1 mengikut kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan aksi bakal berlangsung di Stadium Gelora Bung Tomo pada Jumaat ini.
Untuk aksi ini, Indonesia telah pun menyenaraikan ramai pemain bintang mereka dalam usaha untuk mencatat kemenangan sekali gus memperbaiki kedudukan ranking di tempat lebih baik.
Timnas Indonesia jalani latihan perdana di Stadion Thor, Surabaya. 🏟
Semangat persiapkan diri, Garuda! 🦅🇮🇩#KitaGaruda #GarudaMendunia pic.twitter.com/IF67JXMK0d
— Timnas Indonesia (@TimnasIndonesia) September 4, 2023
Antara nama besar yang dipanggil kali ini termasuklah Saddil Ramdani, Jordi Amat, Asnawi Mangkualam, serta ramai lagi di segenap posisi untuk menunjukkan mereka bersedia menghadapi cabaran Turkmenistan di laman sendiri.
Walaupun begitu, dilaporkan keadaan semasa pasukan tersebut kini sedikit tempang selepas ada beberapa pemain utama Sang Garuda mengalami kecederaan sebelum hari perlawanan berlangsung Jumaat ini.
Laporan menyatakan empat pemain kebangsaan mereka mengalami kecederaan dan terpaksa disisihkan seketika iaitu Shayne Pattynama, Yakob Sayuri, Yance Sayuri, serta Dimas Drajad.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh pengendali utama Indonesia, Shin Tae-yong yang memberi bayangan empat pemain tersebut berkemungkinan tidak akan tersenarai pada aksi persahabatan akan datang.
Walaupun begitu, hanya Shayne sahaja yang tidak menyertai kem latihan dengan tiga lagi pemain telah pun melaporkan diri mereka lebih awal sejak mendapat panggilan rasmi.
“Empat orang pemain iaitu Shayne, Yakob, Yance, dan Dimas ketika ini sah mengalami kecederaan sejak saingan liga berlangsung lagi.
“Jadi berkemungkinan besar mereka tidak akan disenaraikan oleh barisan kejurulatihan pada perlawanan akan datang bertemu Turkmenistan pada 8 September ini,” jelas Shin menerusi laporan CNN Indonesia.
Enggan mencari pemain pengganti baharu untuk mengisi kekosongan bakal ditinggalkan empat pemain tersebut, Indonesia telah pun menyenaraikan beberapa bintang muda mereka daripada skuad bawah 23 (B-23).
Tiga bintang muda yang dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama pasukan senior ialah Donny Tri Pamungkas, Alfeandra Dewangga, serta Dzaky Asraf untuk kembali mengimbangi barisan pemain sedia ada.
Penjualan tiket International Friendly Match: Indonesia vs Turkmenistan resmi dibuka! ✨
🎟️ Dapatkan tiketnya melalui website https://t.co/eaibKctspp atau https://t.co/VpPVhdjKsF#KitaGaruda #BersamaGaruda #GarudaMendunia pic.twitter.com/Uh2MKWNgnM
— Timnas Indonesia (@TimnasIndonesia) September 1, 2023
“Tidak akan ada wajah baharu yang akan dipanggil kali ini dengan tiga pemain B-23 negara akan menyertai sesi latihan bersama skuad senior iaitu Dony, Dewangga, serta Dzaky,” jelas Shin lagi.
Pasukan tersebut kini sudah pun menjalani kem latihan pertama sejak semalam dengan menjalani sesi pemulihan dalam kalangan pemain dan bakal dipantau oleh pemangku Shin iaitu Choi In-cheol kerana pengendali tersebut bakal memberi fokus seketika bersama skuad B-23 bagi kelayakan Piala Asia 2024.