Indonesia nampaknya semakin mahu dikenali ramai dalam bidang bola sepak di pentas antarabangsa, dengan terbaharu negara tersebut mempunyai perancangan untuk menjadi tuan rumah dalam kejohanan Piala Dunia.
Ketika ini, negara tersebut sudah pun melakar sejarah tersendiri selepas kejayaan mereka untuk menjadi tuan rumah dalam saingan Piala Dunia bawah 20 (B-20) yang akan bermula tidak lama lagi.
Ketua Umum PSSI, Erick Thohir menyatakan Indonesia siap menggelar Piala Dunia U-20 yang tinggal 73 hari. #KitaGaruda #U20WC pic.twitter.com/0xWPylskX2
— PSSI (@PSSI) March 8, 2023
Sebagai tuan rumah, Indonesia sendiri bakal bersaing dalam kejohanan tersebut bersama negara-negara besar dalam saingan berkenaan dan sudah pun membuat persediaan rapi sejak awal.
Kenyataan untuk menganjurkan Piala Dunia peringkat senior itu sendiri telah pun diluahkan oleh Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) iaiti Zainudin Amali semalam menerusi CNN Indonesia.
Jelas Amali, jika saingan Piala Dunia B-20 ini berjalan dengan lancar, maka ia menjadi batu loncatan terbaik buat mereka untuk cuba membida dalam kejohanan tersebut di peringkat senior.
“Kita berharap supaya kejohanan Piala Dunia B-20 ini dapat berjalan dengan lancar serta tidak mempunyai sebarang masalah berlaku.
“Ini kerana, jika segalanya berlangsung dengan cemerlang, maka ia menjadi modal terbaik buat Ketua Umum PSSI iaitu Erick Thohir untuk membuat bidaan selaku tuan rumah dalam aksi Piala Dunia peringkat senior.
“Sekiranya semua berjalan dengan lancar, maka FIFA bersama negara-negara lain akan memandang kita serta memberi reaksi positif sehingga membuka ruang untuk kita membuat bidaan tersebut,” jelas Amali.
Untuk saingan Piala Dunia B-20 ini, ianya akan berlangsung pada 20 Mei ini sehingga 11 Jun akan datang dengan membabitkan 24 negara menyertai kejohanan tersebut.
Setakat ini, 20 negara sudah pun mengesahkan tempat mereka untuk kejohanan tersebut iaitu Indonesia, Republik Dominika, Guatemala, Honduras Amerika Syarikat, Fiji, Brazil, Uruguay, Colombia, Ecuador, New Zealand, England, Perancis, Israel, Italia, Slovakia, Gambia, Nigeria, Senegal dan Tunisia.
Pada masa sama, Amali juga memohon supaya masyarakat Indonesia dapat memberi contoh terbaik kepada para tetamu yang akan hadir nanti tanpa membuat sebarang masalah.
Menpora: Piala Dunia U-20 Modal Indonesia Bidding Piala Dunia Senior https://t.co/P5jrjnYcp7
— CNN Indonesia (@CNNIndonesia) March 9, 2023
“Indonesia dikenali kerana masyarakat yang ada di sini sangat peramah, maka kita perlu tunjukkan contoh terbaik buat para tetamu tidak kira pegawai perlawanan atau para pemain luar tiba di sini nanti,” tambah beliau.