Quantcast

BERITA

Indonesia Dakwa Malaysia Tiru Mereka Ambil Pemain Naturalisasi

Kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan bukan sahaja mengujakan peminat bola sepak tempatan tetapi turut menarik perhatian media dari negara seberang.

Menurut laporan daripada SuperBall id, mereka mendakwa tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membawa masuk pemain naturalisasi seperti meniru langkah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang sudah pun membuka ruang kepada pemain asing untuk mewakili ‘timnas’ mereka sejak dahulu.

“Sebelumnya, FAM sangat anti-naturalisasi kerana dinilai merosakkan perkembangan pemain tempatan. Malaysia rupanya terpengaruh dengan beberapa negara tetangganya seperti Indonesia, Filipina, dan Singapura.

“Seperti PSSI, FAM akhirnya mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah kemerosotan prestasi skuad kebangsaan dengan mengambil pemain naturalisasi,” kata kenyataan daripada portal bola sepak Indonesia itu.

Skuad kebangsaan Indonesia kini mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang dijangka akan memperkuatkan pasukan mereka di Kejohanan AFF tahun ini iaitu Alberto Concalves, Esteban Vizcarra dan Stefano Lilipaly.

Selepas menghilangkan diri selama dua hari apabila sepatutnya melaporkan diri, kelmarin, Sumareh akhirnya menyertai sesi latihan penuh skuad kebangsaan dan dijangka akan beraksi dalam dua aksi persahabatan menentang Sri Lanka dan Krygyzstan.

Sumareh menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan. FOTO: FAM

Sebelum ini timbul khabar angin mengatakan pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) enggan melepaskan tonggak mereka itu tetapi situasi berubah semalam apabila Sumareh mengesahkan dia boleh menyertai latihan skuad kebangsaan selepas mendapat pelepasan daripada majikannya.

“Saya akan ke Melaka hari ini (semalam) dan menyertai (latihan pasukan kebangsaan). Saya boleh beraksi dan akan berlepas (ke Colombo) bersama pasukan kebangsaan esok (hari ini).

“Ya, saya sudah mendapat pelepasan daripada PBNP dan sebab itu saya ke Melaka,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berlepas ke Colombo, malam ini untuk mengharungi aksi persahabatan bertemu Sri Lanka sebelum berdepan Kyrgyzstan di Melaka, Selasa depan.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!