Quantcast

BERITA

FAS: Ahli Gabungan Kami Tak Kenal Pun Roslin Shariff

Susulan daripada berita dakwaan 67 daripada 96 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang meminta Kongres Luar Biasa diadakan kerana perlantikan dua Naib Presiden FAS yang dikatakan tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan, FAS hari ini mengumumkan dapatan siasatan awal mereka mengenai isu ini.

Baca: Timbalan Presiden FAS: Kenyataan Roslin Shariff Berniat Memecahbelahkan FAS

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden FAS, Dato’ Seri Shahril Mokhtar memberitahu terdapat sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab bertindak memperdaya ahli-ahli gabungan mereka dengan maklumat tidak tepat demi kepentingan peribadi mereka.

“Daripada perbualan langsung dengan ramai ahli gabungan, kami dapati mereka (ahli gabungan FAS) telah diperdaya oleh sesetengah individu yang memberi maklumat tidak tepat tentang isu perlantikan dua Naib Presiden tersebut. Ia membuatkan mereka terpedaya menyokong saranan tidak bertanggungjawab individu tersebut untuk FAS mengadakan Kongres Luar Biasa,” jelas Shahril.

FAS juga menurutnya telah mengesan beberapa kes penipuan di mana terdapat beberapa surat sokongan kepada memorandum (untuk memanggil Kongres Luar Biasa) tersebut yang sebenarnya tidak ditandatangani oleh ahli gabungan FAS terlibat.

“Kami memandang serius terhadap perkara ini kerana ia mempunyai unsur-unsur jenayah dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang tidak bersalah,” ujar Shahril lagi.

FAS turut mendedahkan kebanyakan ahli gabungan FAS tidak mengenali pun individu bernama Roslin Shariff yang mendakwa mewakili 67 daripada 96 ahli gabungan FAS yang tidak berpuas hati dengan perlantikan dua naib presiden FAS yang baharu tersebut.

Shahril turut memberitahu apabila dipanggil menghadap DYTM Tuanku Presiden, Roslin Shariff gagal hadir dengan memberi alasan tidak munasabah.

“Kami mengesyaki beliau hanya menjadi boneka yang dipergunakan oleh beberapa dalang di belakang kerja terkutuk ini,” tambah beliau.

Setelah mengetahui fakta-fakta sebenar, ramai daripada ahli gabungan telah menarik balik permintaan dan sokongan untuk mengadakan Kongres Luar Biasa tersebut.