Indonesia Bakal Tambah 7 Pemain Naturalisasi Untuk Persiapan Piala Dunia B-20

Indonesia kini dilihat sedang sibuk mempersiapkan skuad mereka di segenap peringkat untuk terus memberi cabaran di peringkat antarabangsa agar mampu menaikkan mutu bola sepak negara tersebut.

Terbaharu, Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochamad Iriawan mengumumkan telah mendapat senarai tujuh pemain untuk dijadikan sebagai naturalisasi.

Persediaan mereka dengan mendapatkan tujuh pemain naturalisasi tersebut ialah untuk mempersiapkan diri bagi aksi Piala Dunia B-20 yang bakal berlangsung pada tahun 2023 nanti.

Dengan Indonesia bakal menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut, maka persediaan lebih rapi pastinya sedang dibuat pasukan tersebut untuk mencabar negara-negara lain bertanding.

Tujuh senarai nama tersebut dikhabarkan telah diminta sendiri oleh jurulatih Indonesia iaitu Shin Tae-yong dan tanpa menyebut nama, Iriawan menyatakan semua pemain tersebut ketika ini berada di Belanda.

“Kami juga ingin menyatakan mengenai hal pemain naturalisasi baharu. Setakat ini sudah ada tujuh pemain berada dalam senarai.

“Tiga pemain sudah pun kami hubungi setakat ini, selebihnya kami akan cuba untuk mendekati dan berbincang dengan lebih lanjut. Tujuh pemain ini adalah kehendak jurulatih sendiri,” jelas Iriawan menerusi CNN Indonesia.

Menurut info, tujuh orang yang bakal diberi taraf naturalisasi ini tidak ada kena mengena dengan tiga pemain sebelum itu yang pernah diumumkan PSSI iaitu Shayne Pattynama, Sandy Walsh, dan Jordi Amat.

Ini kerana, tiga pemain tersebut hanya difokuskan untuk memperkukuhkan skuad senior sahaja dalam kejohanan bakal disertai mereka.

Sebelum itu, Indonesia sudah pun giat mencari pemain warisan dan naturalisasi dengan had umur lebih muda sejak tahun 2020.

Elkan Baggott antara bakat muda yang berjaya dikesan mereka dan pertahanan ini sekarang berjaya mendapat tempat bersama skuad kebangsaan menerusi aksinya yang berkualiti.

Tae-yong juga sebelum itu pernah mendapatkan tiga pemain muda dari Belanda yang dinilai untuk kesesuaian mereka bersama skuad kebangsaan.

Tiga pemain tersebut ialah Kai Boham, Jim Croque, serta Max Cristoffel. Namun, mereks dilihat gagal untuk memenuhi kehendak permainan yang diinginkan oleh pengendali dari Korea Selatan tersebut.

Ketika ini, Iriawan menyatakan para pemain bawah 19 (B-19) sedang giat menjalani kem latihan pusat dalam persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia B-20 tahun 2023.

Justeru, PSSI berharap agar kerajaan mampu memberi sokongan untuk para pemain ini menjalani latihan pusat di luar negara supaya lebih banyak pengalaman dapat diperoleh.

“Kami memerlukan sokongan ketika ini agar para pemain muda tersebut dapat berlatih di luar negara tidak lama lagi.

“Kemungkinan negara sasaran kami ialah Turki dan Sepanyol. Jika masih ada kesempatan masa, mungkin juga kita akan pergi ke Belanda,” ujar Iriawan.

Sumber:
CNN Indonesia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN