Indonesia nampaknya ingin menjadi pasukan yang semakin serius dalam dunia bola sepak di pentas antarabangsa, dengan pelbagai rombakan baharu sentiasa dibuat dalam kalangan pemain demi memastikan segalanya berjalan lancar.
Bawah kendalian Shin Tae-yong, Sang Garuda kini bukan sahaja diperkuatkan oleh pemain tempatan yang berkualiti, malah mereka juga sibuk melakukan rekrut untuk mendapatkan pemain warisan di seluruh dunia.
Terbaharu, Indonesia dilaporkan semakin pasti untuk mendaftarkan seorang lagi pemain warisan mereka selaku status warganegara sebelum memperkukuhkan pasukan kebangsaan Sang Garuda.
Terdahulu, Indonesia telah pun mendaftarkan pertahanan baharu mereka iaitu Calvin Verdonk untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan cabaran Filipina serta Iraq bagi peringkat Kumpulan F.
Daripada 25 pemain yang disenaraikan, Shin telah memanggil 11 pemain warisan di pelbagai posisi untuk memperkukuhkan pasukan itu pada dua aksi akan datang.
Pemain paling baharu bakal didaftarkan pastinya terarah kepada Calvin Verdonk yang beroperasi selaku pemain pertahanan kiri dari Belanda.
Untuk rekod, pertahanan berusia 26 tahun itu sudah pun mewakili skuad bawah 21 (B-21) negara tersebut pada tahun 2017 dan tidak lagi dipanggil bersama pasukan senior Belanda sehingga kini.
Posisi beliau dianggap cukup sengit kerana beliau bakal bersaing bersama Pratama Arhan yang terdahulu sudah dominan selaku pertahanan kiri selain Shayne Pattynama bersama Sang Garuda.
Terbaharu, Shin bakal mendapat seorang lagi pemain berdarah warisan yang beraksi di posisi penyerang dari Belanda iaitu Jens Raven pada masa terdekat.
Walaupun tiada sebarang pengesahan lagi ketika ini, Jens dilaporkan bakal didaftarkan selaku warganegara tidak lama lagi menerusi perkongsian dibuat oleh media CNN Indonesia.
Malah ketika ini jens sudah pun dilaporkan bersama skuad bawah 20 (B-20) Indonesia yang menjalani kem latihan pusat sebelum mengharungi saingan Toulon Cup.
Kehadiran Jens dianggap sebagai permata baharu buat masa depan Indonesia kerana beliau baru sahaja berusia 18 tahun dan sudah membuktikan ketajamannya di posisi penyerang bersama Dordrecht bawah 21 (B-21).
Sepanjang 19 penampilan bersama kelab tersebut, Jen sudah pun meledak enam gol secara keseluruhan dan turut boleh memainkan peranan penting selaku pemain tengah.
Pandangan anda, adakah Indonesia akan terus mendapatkan lebih ramai pemain warisan pada masa hadapan?