Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku mendedahkan bahawa beliau hampir menyertai Juventus sebelum membuat keputusan ke Everton.
Menerusi laporan dari 90MiN, Lukaku berkata, “Pada 2014 ketika saya meninggalkan Chelsea, saya mempunyai peluang untuk pindah ke Juve. Pada akhirnya saya memilih Everton.”
“Juventus telah datang, tetapi sesuatu tidak meyakinkan saya. Saya berkata tidak dan lalu Everton mendapatkan saya, pada hari berikutnya Conte meninggalkan pasukan.”
Pendedahan dari Lukaku itu kembali menghangatkan spekulasi membabitkan masa depannya di Old Trafford apabila beliau turut mengakui impiannya untuk beraksi dalam Serie A pada masa akan datang tidak pernah terpadam.
Lukaku talking about a move to Italy again….That's three times in the last six months! Wrap him up and get rid!
— Mark Goldbridge (@markgoldbridge) April 25, 2019
Lukaku menyertai United dari Everton pada 2017 dalam perjanjian bernilai £75 juta (RM403 juta) dan tambahan £15 juta (RM81 juta), dan masih mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya di Old Trafford.
Namun, sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih tugas Jose Mourinho, Lukaku tidak lagi diberi peranan sebagai ‘penyerang utama’ United.
“Bermain di Itali akan menjadi impian bagi saya, saya sudah tahu beberapa perkataan Itali sejak adik saya [Jordan] telah berada di Lazio selama bertahun-tahun.”
“Buat masa ini saya fokus pada pasukan, iaitu Manchester United dan mahu mencapai tempat keempat yang menjadi sasaran kami untuk musim ini.”
Penyerang kebangsaan Belgium itu antara pemain yang menjadi mangsa pertukaran taktik dan aura positif yang cuba dibawa Solskjaer untuk mengembalikan semula reputasi The Red Devils.
Pengendali dari Norway itu telah melakukan perubahan di sektor serangan dengan menggandingkan tiga pemain muda yang terdiri daripada Marcus Rashford, Anthony Martial dan Jesse Lingard sehingga menyebabkan Lukaku disisihkan dari kesebelasan utama pasukan.