Imbasan Kenangan Wakil Oceania Yang Menyertai Piala Kelab Dunia

Piala Kelab Dunia anjuran FIFA telah memperuntukkan satu slot untuk wakil daripada Oceania (OFC). Pemenang Liga Juara-Juara OFC akan membawa cabaran Oceania dalam kejohanan ini.

Kami membawakan beberapa fakta menarik mengenai wakil OFC dalam Piala Kelab Dunia.

Wakil sulung

South Melbourne semasa Piala Kelab Dunia 2000. Sumber: Gettyimages.com.au

Kelab Australia, South Melbourne menjadi wakil pertama OFC dalam kejohanan Piala Kelab Dunia edisi 2000. Mereka memenangi Liga Juara-Juara OFC pada musim 1999.

Menariknya, South Melbourne bukanlah kelab Liga A Australia sebaliknya kelab National Soccer League. National Soccer League merupakan liga bola sepak sebelum Liga A dibentuk.

Kebetulan, wakil kedua OFC dalam kancah Piala Kelab Dunia pada 2005 merupakan kelab yang bermain dalam Liga A. Kelab yang dimaksudkan ialah Sydney FC.

Tetapi, pada 2006, Australia secara rasmi berpindah ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Ia sekaligus menamatkan peluang kelab Australia beraksi dalam mana-mana kejohanan anjuran OFC. Apatah lagi menjadi wakil OFC dalam Piala Kelab Dunia.

Dominasi New Zealand bermula

New Zealand umpama ikan besar dalam kolam kecil OFC. Sejak 2006 hingga 2018, majoriti wakil OFC dalam Piala Kelab Dunia merupakan kelab New Zealand.

3 kelab New Zealand pernah mara ke Piala Kelab Dunia iaitu Auckland City, Waikatere United dan Team Wellington.

Waikatere United dua kali beraksi dalam kejohanan ini sewaktu edisi 2007 dan 2008. Team Wellington membuat penampilan sulung pada edisi 2018.

Auckland City

9 kali, itulah angka yang sukar diulang oleh mana-mana kelab Oceania untuk ke Piala Kelab Dunia. Auckland City pertama kali beraksi dalam kejohanan ini semasa tahun 2006.

Kali kedua mereka bermain dalam Piala Kelab Dunia pada 2009.

Auckland City memegang satu rekod boleh dibanggakan, mereka mara sebanyak 7 kali berturut-turut! Mereka menjadi perwakilan tetap OFC dari 2011 sehingga 2017.

Edisi 2014 tidak dilupakan

Pemain Auckland City meraikan kejayaan gemilang mereka semasa edisi 2014.

Auckland City mencuri tumpuan semasa kejohanan 2014. Mereka menafikan ramalan bahawa mereka akan pulang awal.

Pada perlawanan play-off mereka menewaskan wakil tuan rumah, Moghreb Tetouan melalui sepakan penalti 4 berbalas 3. Perlawanan diheret melalui sepakan penalti setelah seri tanpa jaringan.

Juara Afrika, ES Setif dikejutkan Auckland City pada fasa suku akhir. Jaringan tunggal John Irving memadai untuk Auckland City mara ke separuh akhir.

Auckland City tewas kepada San Lorenzo dalam perlawanan separuh akhir. Itu pun mereka tewas selepas masa tambahan melalui gol kemenangan oleh Mauro Matos. Perlawanan berkesudahan dengan skor 2-1.

Wakil New Zealand itu menduduki tangga ketiga kejohanan selepas menewaskan Cruz Azul dalam perlawanan penentuan. Mereka asalnya terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan. Auckland City menang melalui sepakan penalti 4-2.

Itulah aksi terbaik wakil OFC dalam sejarah penyertaan Piala Kelab Dunia.

Hekari?

Sebenarnya hanya sekali sahaja wakil OFC yang bukan dari Australia mahu pun New Zealand. Hekari United, kelab Papua New Guinea pernah bermain dalam kejohanan 2010.

Namun begitu, mereka menduduki tangga ketujuh atau tercorot dalam Piala Kelab Dunia.

OFC merupakan salah satu konfederasi yang tidak pernah menganjurkan Piala Kelab Dunia. Mungkinkah FIFA boleh mempertimbangkan untuk menganjurkannya pada masa hadapan?

Siapa tahu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN