Penjaga gol Kedah Darul Aman, Ifwat Akmal Che Kassim bersedia untuk kembali merebut posisi penjaga gol utama sebaik sahaja Liga Super bersambung.
Ifwat hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan ketika perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Mac lalu sebelum dihimpit kecederaan lutut kiri yang memaksanya berehat lama.
Justeru, tempat sebagai penjaga gol utama menjadi milik Shahril Saari yang tampak konsisten dalam setiap perlawanan sekali gus menyukarkan Ifwat kembali mencuri posisi itu dalam kesebelasan utama.
Namun, pemain berusia 25 tahun ini melihat persaingan itu sesuatu yang positif untuknya bekerja lebih keras bagi mencuri perhatian pengendali, Aidil Sharin Sahak untuk kembali meletakkan kepercayaan kepadanya dalam perlawanan akan datang.
“Persaingan itu saya lihat secara sihat kerana masing-masing pasti akan mendapat peluang dan semuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.
“Sasaran saya adalah supaya peluang saya untuk kembali beraksi lebih cerah selepas liga bersambung kerana sudah lama saya terlepas perlawanan pada musim ini.
“Memandangkan Piala AFC belum bermula, jadi saya kena rebut peluang ini dengan segera supaya nanti perlawanan penting juga saya dapat diberi kepercayaan untuk diturunkan.
📷 Sesi latihan petang ini menekankan aspek ketajaman serangan dan fokus dalam mencari tempo keserasian.#kdafc #pkp3
—
Dapatkan kit jersi latihan KDA FC ▶️
🛒 https://t.co/nf6mgXSMG6 pic.twitter.com/BSv1gI7vrE
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) June 30, 2021
“Sekarang pun, saya sudah betul-betul pulih dan tiada masalah sekiranya untuk beraksi, jadi saya percaya peluang saya akan ada sebaik sahaja perlawanan kembali bersambung”, jelasnya.
Memandangkan kontraknya bersama Kedah akan berakhir pada penghujung musim ini, semestinya Ifwat mahu memastikan kariernya berada di tahap terbaik sebelum membuat sebarang keputusan mengenai hala tujunya selepas ini.
Penting untuknya mengelak sebarang kecederaan serius berlaku sekali lagi kerana musim lepas turut mengalami kecederaan bahu dan enggan peluangnya terus terkubur.
“Kontrak saya dengan Kedah sampai hujung tahun ini sahaja, sebab itu penting untuk saya membuktikan sesuatu kepada pasukan bahawa saya juga mampu.
“Tengok la nanti macam mana, saya kena buat yang terbaik dahulu untuk pasukan ini, selepas itu barulah saya akan fikirkan untuk musim depan bagaimana,” tambahnya.
Kedah ketika ini berada di tangga ketiga Liga Super dan bersaing rapat dengan Terengganu apabila hanya dibezakan satu mata sahaja untuk berada di kedudukan kedua. – MFL
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Arthur Cunha, Francis Kone Pemain Import Baharu Negeri Sembilan
Perak FC Lancar Jersi Khas Sambutan 100 Tahun Yang Cukup ‘Merecik’
Alex Agyarkwa Teruja Sertai Pasukan Hebat Seperti Selangor 2