Pemain berasal dari Nigeria, Ifedayo Olesegun kini adalah pemain import baharu pasukan Selangor. Perkhabaran tersebut mulai disiarkan oleh beberapa media pada hari ini yang memetik kata pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad
“Ifedayo sudah menandatangani kontrak hingga hujung musim dan kami akan menurunkannya dalam perlawanan menentang Melaka” ujar beliau seperti yang disiarkan oleh Sinar Harian pada hari ini.
Penyerang berusia 28 tahun itu sebenarnya bukan pemain asing di kancah saingan Liga Malaysia.
Bukan asing
Pernah beraksi bersama Felda United pada musim 2017, Ifedayo turut pernah menyarung jersi Melaka United pada musim lalu.
Ketika bersama Felda, Ifedayo tampil dalam 18 perlawanan dan menjaringkan 9 gol dalam semua pertandingan. Rekod beliau bersama Melaka – bermula dari jendela perpindahan kedua – juga menyerlahkan reputasi pemain ini sebagai antara penyerang berbisa di saingan Liga Malaysia.
Tampil dalam sembilan perlawanan liga, Ifedayo turut merekodkan lapan gol sepanjang musim lalu.
Bagaimanapun Ifedayo tidak kekal di Melaka, sebelum menyertai kelab Bahrain, Al Riffa pada musim ini. Bersama pendahulu Liga Perdana Bahrain itu, Ifedayo hanya pernah beraksi sekali, dan satu-satunya jaringan yang dihasilkan oleh beliau ialah ketika Al Riffa tewas 2-1 kepada Al Hala pada 12 April lalu.
Pemain import
Pada awal musim Selangor telah mendaftarkan lima pemain import iaitu Michal Nguyen (Vietnam), Antonio German (Grenada), Endrick Dos Santos (Brazil), Taylor Regen (Australia), manakala Rufino Segovia (Sepanyol) adalah satu-satunya pemain import yang dikekalkan pada musim lalu.
Bagaimanapun sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup pada Mac lalu, Selangor mengambil langkah menggantikan Antonio German dengan Sandro Da Silva Mendonca.
Ketibaan Ifedayo pula dilihat tiba sebagai pengganti kepada Rufino yang mengalami kecederaan dan terpaksa berehat panjang.