Zlatan Ibrahimovic serta pemain pertahanan Manchester United, Marcos Rojo yang mengalami kecederaan sebelum ini, kini sudah pulih sepenuhnya dan bersedia membarisi kesebelasan utama apabila United melayan kunjungan Brighton pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok di Old Trafford.
Ibrahimovic berehat dalam tempoh tujuh bulan selepas mengalami kecederaan lutut yang mengancam kariernya sebelum ini. Beliaumengalami kecederaan lutut ketika pasukannya mengatasi Anderlecht pada suku akhir Liga Europa, April lalu.
Bekas penyerang PSG itu, sudah melakukan penampilan semula sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan terakhir United bermula dengan kemenangan 4-1 ke atas Newcastle di Old Trafford, Sabtu lalu disusuli kekalahan 0-1 di tangan Basel pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi kelmarin.
Menurut pengurus Manchester United, Jose Mourinho, selain Ibrahimovic, beliau yakin Marcus Rojo yang melakukan penampilan semula dengan beraksi di pertahanan tengah ketika bertemu Basel kemungkinan akan beraksi di posisi sama malam esok.
“Saya fikir Marcos mampu beraksi sejak beberapa minggu lalu.
“Kami tidak perlu memberi tekanan kepadanya tapi dia sudah menjalani latihan untuk tempoh yang agak lama.
“Kami mahukan khidmatnya selepas tidak dapat menggunakan Jones. Marcos diperlukan untuk membentuk keseimbangan dalam pasukan,” katanya.
Mourinho hampir pasti mempunyai skuad lengkap buat kali pertama dalam tempoh sebulan dengan Paul Pogba dijangka mampu membuat penampilan semula selepas mengalami kecederaan hamstring yang serius.
Pemain tengah Perancis itu menjaringkan gol ketika menentang Newcastle selepas berehat selama dua bulan. Namun dia gagal beraksi dengan baik meskipun bermula baik di awal permainan ketika bertemu Basel.
Dengan beberapa siri perlawanan bakal menyusul, Mourinho melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding di Switzerland dengan Pogba, Anthony Martial, Chris Smalling dan Romelu Lukaku disenaraikan untuk pertemuan dengan Newcastle.
Beberapa lagi penggiliran pemain dijangka berlaku minggu ini kerana Mourinho berharap dapat mengekalkan tahap kecergasan pemain lain.