Zlatan Ibrahimovic dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk bersara sebagai pemain bola sepak profesional, setelah tempoh kedua beliau bersama AC MIlan terjejas akibat penularan wabak coronavirus.
Menurut La Gazzetta Dello Sport pada Khamis lalu, pemain berusia 38 tahun itu sedang mempertimbangkan secara serius untuk beralih ke bidang pengurusan dengan bantuan ejennya, Mino Raiola.
Media Itali itu turut berkata Ibrahimovic kini berada di Sweden dan mahukan sebuah projek yang boleh memberikan motivasi, lebih dari faktor kewangan semata-mata.
Bersama-sama Milan, Ibrahimovic hanya boleh mengharapkan kelayakan ke Liga Europa pada musim hadapan.
Milan kini berada di kedudukan ke-7 di Serie A, 12 mata di belakang pasukan tangga ke-4 yang menjanjikan kelayakan ke UEFA Champions League – dan kini diduduki oleh Atalanta.
Ibrahimovic kembali menyertai Milan pada Disember 2019 selepas meninggalkan Los Angeles Galaxy di Major League Soccer.
Kontrak beliau di San Siro adalah sehingga ke akhir musim ini dengan pilihan sambungan selama setahun.
“Saya kembali menyertai sebuah kelab yang saya amat hormati, dan juga ke bandar Milan yang amat saya kasihi.”
“Saya berjuang bersama rakan sepasukan yang lain untuk menukar nasib kita pada musim ini. Saya akan melakukan sebaik mungkin demi memastikan semua ini berlaku.”
Sejak kembali ke Milan, Ibrahimovic telah menjaringkan empat gol dari 10 penampilan.
Ibrahimovic telah beraksi dengan beberapa kelab di serata Eropah termasuk Barcelona, Manchester United, Paris Saint-Germain, Inter Milan dan AC Milan sepanjang kariernya.
Beliau turut memenangi kejuaraan di Sepanyol, Perancis dan Itali selain daripada kejuaraan Liga Europa ketika bersama Manchester United.
Namun demikian, Ibrahimovic tidak pernah memenangi pertandingan UEFA Champions League.
Di peringkat antarabangsa, Ibrahimovic telah tampil sebanyak 116 kali untuk Sweden dan menjaringkan 62 gol untuk tampil sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Sweden.