Ibrahimovic ledak hat-trik dalam perlawanan yang dikuasai oleh United ketika menentang St. Etienne di Old Trafford.
Ia membolehkan United terlalu hampir untuk mara ke peringkat 16 pasukan terakhir.
‘Saya seperti wain, semakin tua semakin tinggi nilainya!’
Itulah ayat yang pernah dikeluarkan oleh Ibrahimovic. Itulah juga gambaran kepada aksi Ibrahimovic musim ini bersama-sama dengan Manchester United.
Jose Mourinho menurunkan kesebelasan terbaik beliau kecuali David De Gea yang direhatkan untuk memberikan laluan kepada Sergio Romero.
Paul Pogba dan Florentin Pogba antara watak yang menjadi perhatian dalam perlawanan ini. Ini adalah pertarungan pertama melibatkan adik-beradik Pogba.
Paul Pogba juga sangat dominan di tengah padang. Namun Ibrahimovic telah mencuri perhatian dengan aksi cemerlang beliau.
Ibrahimovic menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma yang penuh muslihat pada minit ke-15. Beliau hanya meleretkan bola yang terbias di kaki pertahanan lawan.
Penjaga gol St. Etienne hanya mampu melihat bola yang bergolek di sebelah kiri beliau.
Bersambung babak ke-2, Ibrahimovic menjaringkan gol ke-2 peribadi dan kedua untuk pasukan beliau menerusi jaringan mudah pada minit ke-75.
Bola hantaran Rashford singgah betul-betul di hadapan beliau dan Ibrahimovic hanya menolak bola tersebut ke dalam gol.
Sebelum tamat perlawanan, United dihadiahkan sepakan penalti selepas Ibrahimovic dijatuhkan.
Ibrahimovic melengkapkan hat-trik beliau pada minit ke-88. Ia adalah jaringan ke-22 Ibrahimovic untuk Manchester United musim ini.
Ianya juga hat-trik pertama lagenda Sweden tersebut untuk The Red Devils. Sepanjang karier beliau, Ibrahimovic telah ledak hat-trik sebanyak 17 kali.
Ibrahimovic juga telah terlibat dalam 18 gol daripada 17 penampilan di Old Trafford dengan 12 gol dan 6 bantuan gol.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-0. United boleh berkira-kira untuk mara ke pusingan seterusnya.
Manchester United menang 3 perlawanan Eropah berturut-turut tanpa bolos pertama kali sejak November 2010, era Sir Alex Ferguson.
Ini juga kejayaan tanpa bolos tanpa 5 perlawanan berturut-turut pertama Mourinho sejak November 2011 di Real Madrid.
Sergio Romero turut mengekalkan rekod tanpa bolos dalam 6 perlawanan berturut-turut beliau sejak September 2016 hasil jaringan penalti Alex Ravell.
Hanya malapetaka sahaja yang membuatkan mereka gagal melangkah ke peringkat 16 pasukan terakhir.
Baca juga: 5 Cabaran ‘Maha Susah’ Yang Patut Anda Cuba Di Football Manager 2017