Isu Hutang KAFA: FAM Ibarat Ketam Yang Mengajar Anaknya Berjalan Lurus

Tatkala kita sedang sibuk menuju ke arah penswastaan liga, terdapat pula cerita-cerita tidak enak tentang masalah hutang yang melibatkan sebuah pasukan Liga Super.

Terbaru, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan oleh FAM untuk membayar RM636,000 kepada bekas ketua jurulatih mereka, Steve Darby (gambar di bawah).

darby

FAM juga memberikan notis 14 hari untuk menjelaskan bayaran tersebut sehingga KAFA mengancam keluar dari badan induk itu.

Tak cukup dengan itu, Tan Sri Annuar Musa juga telah menempelak FAM dengan menyatakan persatuan bola sepak negeri adalah seperti ‘lembu bekerja membajak yang mencari duit untuk FAM’.

Sejarah hutang FAM dengan Weigang

Tatkala FAM lantang mengherdik pasukan Kelantan supaya melangsaikan hutang kepada Steve Darby awal minggu lalu, badan induk itu tidak sedar betapa tindakannya ‘ibarat menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri.’

weigang

Siapa boleh lupakan cerita hutang lapuk FAM kepada bekas Pengarah Teknikalnya, Karl Heinz-Weigang, sebanyak RM130,000 angkara pelbagai belanja yang didahulukan dengan duit poket Weigang sendiri?

“FAM berhutang dengan saya jumlah keseluruhan RM133,394 untuk pelbagai pendahuluan perbelanjaan. Ia termasuk pembaharuan pasport dan belanja perubatan pemain-pemain kebangsaan.”

“Ia juga termasuk belanja pengangkutan dan penginapan untuk ke beberapa negeri bagi pertemuan dengan pegawai, jurulatih serta pemain serta menyaksikan pelbagai perlawanan.”

“(Bekas) Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri (Dr) Ibrahim Saad sudah beberapa kali berjanji bahawa ‘jumlah kecil’ ini akan dilunaskan secepat mungkin.”

Namun, setelah beberapa tahun berlalu, janji hanya tinggal janji. Beban hutang FAM pada zaman Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad diwarisi pula oleh Datuk Azzuddin Ahmad.

Pada waktu yang sama, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) juga dikatakan mempunyai bayaran tertunggak dengan Weigang yang dikatakan berjumlah RM 700,000 pada tahun 2001. Hanya pada bulan Julai tahun lalu, PAFA mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sudah ‘tidak berhutang walau sekupang’ dengan Weigang.

Hutang FAM lagi

Bagaimana pula dengan kisah cerita hutang FAM dengan Datuk Dell Akbar Khan yang berjumlah RM1.1 juta ketika beliau menjadi Setiausaha Agung FAM? Begitu liat FAM untuk membayar hutang sehinggakan Datuk Dell terpaksa menyuruh peguamnya menyelesaikan kes ini.

Malahan, tak lama dahulu FAM juga pernah mempunyai bayaran tertunggak wang penyiaran sebanyak RM 150,000 kepada Persatuan Bola Sepak Johor (PNBJ).

Soalan kami, sudahkan FAM menyelesaikan hutang-hutang ini?

Salah KAFA juga

Berbalik kepada isu hutang KAFA, pada awalnya pihak Kelantan FA hanya berhutang sebanyak RM 240,000 dengan pengendali dari England tersebut akibat membuat penamatan awal kontrak.

Namun akibat daripada lambat membayar pampasan serta tidak menghantar wakil untuk membincangkan isu tersebut, jumlah itu telah meningkat kepada RM 636,000.

KAFA dan Tan Sri Annuar Musa tidak boleh menyalahkan FAM sepenuhnya atas keculasan mereka sendiri untuk membayar hutang lapuk mereka kepada Steve Darby. Mengapa sehingga kini mereka melengah-lengahkan bayaran pampasan kontrak Darby?

Malah KAFA juga menghadapi menghadapi masalah sama dengan bekas pertahanannya, Obinna Nwaneri.

Penyelesaian Hutang Bagi Kelantan FA

Jika FAM memutuskan untuk mengenepikan rayuan yang bakal dibuat oleh KAFA kelak, terdapat beberapa penyelesaian yang kami dapat lihat yang praktikal bagi Kelantan.

1. Menganjurkan derma kilat

Secara jujurnya, tiada apa yang salah dan memalukan tentang membuat pungutan derma demi menjaga kepentingan pasukan. Malah, ketika Tan Sri Haji Annuar Musa pernah diarahkan membayar kos-kos perbelanjaan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM sebanyak RM 2,124, penyokong Kelantan telah mengadakan kempen ‘10 sen untuk FAM’.

skeleng

Lebih menarik, bayaran penuh denda FAM tersebut dibuat dengan duit syiling.

Pegawai media KAFA, Wan Badri Wan Omar, menafikan pembayaran dalam bentuk ‘skeleng’ (syiling dalam slanga Kelantan) ini sebagai simbolik sindiran kepada FAM. Sebaliknya beliau menjelaskan ia adalah permintaan kelab penyokong Kelantan.

474089_10150778119321084_546266739_o

2. Meniru apa yang pasukan Bournemouth buat

Kami melihat terdapat inspirasi yang besar dari kelab kerdil ini bagi pasukan Kelantan. Masakan tidak, pasukan pendatang baru Liga Inggeris ini pernah dipalit masalah hutang yang serius pada suatu masa dahulu sehingga hampir-hampir dibubarkan.

Masalah hutang mereka sangat serius sehinggakan pengurusan kelab terpaksa menjual stadium mereka untuk menyelamatkan kelab.

bornemouthdap

Untuk mengharungi perjalanan dari liga bawahan ke Liga Perdana Inggeris, segalanya telah mereka lakukan. Daripada pungutan derma, penubuhan dana amanah (trust funds) sehinggalah penjualan saham kelab yang dinamakan ‘Cherryshare’ kepada penyokong kelab .

Masalah hutang ini mungkin boleh menjadi pemangkin untuk pasukan Kelantan menganjurkan dana amanah (trust funds) atau menjual syer kelab kepada penyokong.

Desas desus mengatakan pasukan JDT sudah pun memulakan inisaitif untuk menjual sejumlah 40 peratus kepentingan dalam pasukan mereka kepada peminat, mengapa tidak bagi pasukan Kelantan?

BVB

Tetapi semua hanya boleh berlaku jika KAFA (dan persatuan bola sepak negeri lain) rela menswastakan pengurusan pasukan negeri mereka. KAFA perlu melepaskan sebahagian kepentingan mereka untuk dikongsi bersama penyokong dan pelabur.

Kesimpulan

Perkara paling penting untuk menjayakan penswastaan liga dan pasukan negeri adalah profesionalisme. Pengurusan kelab perlulah bersikap profesional ketika menguruskan kelab. Hutang perlu dibayar. Perbelanjaan kelab haruslah mengikut kemampuan.

Manakala sebagai badan pemantau pula, FAM perlu menunjukkan profesionalisme yang boleh dicontohi. Bukannya ‘cakap tak serupa bikin’ dan ‘dua kali lima’ sahaja.

Baca: LIGA BOLASEPAK RAKYAT (LBR): SATU LAGI PROJEK GAGAL FAM?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN