Kelmarin media sukan satu dunia kecoh dengan berita kononnya dua hotel kepunyaan CR7, Cristiano Ronaldo di Portugal akan ditukar menjadi hospital.
Dikatakan ia adalah untuk membantu mengurangkan kesesakan hospital awam yang tak menang tangan merawat wabak COVID-19 ketika ini.
Cristiano mempunyai dua rangkaian hotel di Portugal yang dinamakan Pestana CR7 Hotel.
Menurut berita palsu itu lagi, Ronaldo turut dikatakan akan membayar gaji semua staf hospital di hotelnya dan memberi rawatan percuma kepada pesakit.
Berita itu terbukti palsu selepas media Belanda, RTL Nieuws menelefon sendiri jurucakap Pestana CR7 Hotel di Lisbon semalam untuk bertanya tentang kesahihannya.
Jawapan yang diberikan oleh jurucakap Pestana CR7 Hotel ringkas tetapi padat:
“Kami adalah hotel. Kami tak akan jadi hospital. Hari ini berjalan seperti biasa, dan kami akan tetap beroperasi dan kekal beroperasi sebagai hotel. Kami sudah pun menjawab soalan ini kepada media lain. Salam sejahtera.”
Setakat ini bintang Juventus berusia 35 tahun ini masih belum memberikan apa-apa respons mengenai berita hotelnya akan ditukar menjadi hospital.
Ronaldo sedang berada di Portugal bersama keluarganya selepas seluruh pemain dan staf Juventus perlu menjalani proses kuarantin.
Ini berikutan kes Daniele Rugani yang positif penyakit COVID-19 pada minggu lepas.
Daripada mana berita palsu ini bermula?
Berita palsu ini berasal dari satu post di Facebook page berbahasa Portugis yang bernama ‘Arena Desportiva’ pada 14 Mac lepas.
Dalam post tersebut, dikatakan mereka mendapat maklumat daripada seorang pengerusi yayasan kebajikan yang mengatakan Cristiano Ronaldo akan menukar hotelnya, Pestana CR7 Hotel*, kepada hospital untuk merawat pesakit COVID-19.
*Pestana CR7 Hotel sebenarnya tidak dimiliki oleh Ronaldo. Ia dimiliki oleh Pestana Hotel Group. Ronaldo hanyalah merupakan pelabur rangkaian hotel tersebut.
Berita palsu ini tersebar ke seluruh dunia selepas wartawan akhbar Marca yang bernama Nuno Luz melaporkan berita tersebut di laman sesawang media sukan dari Madrid itu.
Dari situ, berita ini tersebar ke seluruh dunia – termasuk Malaysia.
Semalam kami melaporkan satu lagi berita palsu – kononnya Lionel Messi menderma RM19 juta untuk mengikat jamin Ronaldinho keluar dari penjara Paraguay.
Nampak gayanya, kekurangan aksi bola sepak mungkin menyebabkan orang menjadi bosan sehingga mendorong mereka untuk mencipta berita palsu.