Perlawanan sulung Sepanyol dibawah bimbingan Luis Enrique menjelmakan keputusan positif setelah La Roja berjaya menundukkan England 2-1 di Wembley dalam saingan UEFA Nations League awal pagi tadi.
Rodrigo Moreno yang diberikan peluang oleh Enrique untuk beraksi selama 90 minit pada perlawanan ini membalas kepercayaan yang diberikan apabila beliau menyumbat gol kemenangan di minit ke-32.
Tuan rumah yang masih segar dengan kejayaan menduduki tempat ke-4 dalam saingan Piala Dunia 2018 di Rusia tempoh hari membuka tirai jaringan pada minit ke-11.
Hasil lorongan dalam kotak penalti daripada Luke Shaw yang mencari Marcus Rashford, penyerang berusia 20 tahun itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol yang merupakan rakan sepasukannya di Manchester United, David De Gea.
Bagaimanapun, kelebihan jaringan tersebut hanya bertahan dua minit sahaja apabila Saul Niguez kembali menyamakan kedudukan.
Serangan pantas Sepanyol itu membuahkan hasil selepas ‘cutback’ dalam kotak penalti yang dilakukan Rodrigo terus dirembat padu oleh Saul membolosi gawang England yang dikawal Jordan Pickford.
Berpunca daripada sepakan percuma oleh Thiago Alcantara di sebelah kanan pintu gol England, Rodrigo yang tidak dikawal dengan mudah menolak masuk untuk memberikan jaringan kedua buat Sepanyol pada minit ke-32.
Jaringan itu juga akhirnya menjadi gol kemenangan buat skuad bimbingan Luis Enrique selepas serangan yang dilancarkan kedua-dua pasukan selepas itu gagal menemui hasil yang diharapkan.
Pada perlawanan ini juga menyaksikan Luke Shaw terpaksa dikeluarkan apabila beliau bertembung dengan Dani Carvajal.
Keadaan tersebut menyaksikan pemain Manchester United yang kembali membuat penampilan bersama skuad England selepas tiga tahun itu diberikan oksigen dan kelihatan lehernya terpaksa dipakaikan ‘neck brace’.