Liverpool berjaya meneruskan rentak kemenangan selepas menang tipis 1-0 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris 2018/19 bertemu Brighton & Hove Albion di Anfield.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu juga diserikan lagi dengan rekod tanpa dibolosi dimiliki Liverpool ketika ini.
Satu perkembangan yang begitu baik sejak kehadiran penjaga gol baharu, Alisson Becker yang menampung kelemahan di posisi tersebut.
Jaringan menarik hasil sepakan ‘placing’ dilakukan Mohamed Salah pada minit ke-23 yang menerima lorongan daripada Roberto Firmino sudah cukup untuk meletakkan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu di tangga teratas ketika ini.
Perlawanan tersebut jelas didominasi Liverpool dengan penguasaan bola dimiliki serta banyak peluang keemasan yang dicipta untuk merintis kemenangan ketiga ini.
Penjaga gol pelawat, Matt Ryan juga bertindak cemerlang apabila berjaya menafikan tandukan yang dilakukan Firmino di babak pertama.
Kemenangan yang diraih meletakkan Liverpool di tangga teratas dengan mencatatkan sembilan mata maksimum selepas juara bertahan, Manchester City hanya mampu terikat 1-1 pada perlawanan bertemu pendatang baharu EPL, Wolverhampton Wanderers di Molineux Stadium.