Kali terakhir Real Madrid menyaksikan Barcelona terkulai layu di Santiago Bernabeu dalam aksi LaLiga adalah hampir 2,000 hari lepas – secara tepatnya 1,954 hari. Dan hari ini, Los Blancos menyaksikannya sekali lagi hasil gol jaringan Vinicius Junior dan Mariano Diaz lewat separuh masa kedua.
Anak buah Zinedine Zidane ketinggalan dua mata di belakang Barcelona sebelum sepak mula. Dan pada satu ketika tidak nampak mampu merapatkan jurang mata tersebut apabila kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang terhidang pada separuh masa pertama.
Barça terlebih dahulu membazirkan peluang apabila percubaan penyerang Antoine Griezmann meliar melewati palang pada minit ke-23. Kemudian giliran Lionel Messi dan Arthur Melo pula untuk menjaringkan gol pertama perlawanan – tetapi Thibaut Cortois cekap menafikan percubaan mereka.
Naratif perlawanan bagaimanapun berubah selepas rehat separuh masa. Real Madrid menjadi lebih dominan dan lebih berbahaya. Pada minit ke-56, giliran Isco pula menguji Marc ter Stegen.
Los Blancos terus menekan pelawat untuk mendapatkan gol pertama. Usaha mereka berhasil akhirnya apabila pemain sayap muda Brazil Vinicius Junior menjaringkan gol pertama ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Ia berpunca daripada lorongan cantik Toni Kroos sebelum disudahkan oleh penyudah efisien yang terbias dari hadangan Gerard Pique dan akhirnya melepasi ter Stegen di bahagian near post.
Barça cuba bangkit melalui tandukan Pigue yang melewati palang pada minit ke-82. Tetapi tuan rumah mengesahkan kemenangan pada masa tambahan.
Mariano Diaz yang baru berada di atas padang kurang seminit menyambut hantaran jauh rakan sepasukannya sebelum menyudahkan dengan tenang untuk gol kedua dan terakhir perlawanan.
Dengan kemenangan 2-0 ini, Real Madrid kini kembali ke persada liga dengan kelebihan satu mata di depan Barcelona.