Henrikh Mkhitaryan menjelaskan bahawa beliau gembira dapat bergandingan dengan pemain tengah Jerman, Mesut Ozil dalam skuad Arsenal.
Dalam perkembangan yang sama, beliau juga turut memuji dua bantuan jaringan yang dicipta Ozil pada perlawanan awal pagi tadi dan percaya gandingan mereka berdua akan berterusan dalam memberikan kesan yang hebat buat The Gunners.
Ozil membantu Mkhitaryan dan Aaron Ramsey dengan hantaran menarik untuk kemenangan 2-0 keatas AC Milan di San Siro.
”Ya, ramai yang bertanya mengenai perkara ini, tetapi mengapa tidak? Ini bukanlah kali pertama pemain ‘nombor 10’ beraksi bersama-sama,” jelas Mkhitaryan menjawab pertanyaan tentang dua pemain dengan peranan ‘nombor 10’ beraksi bersama.
”Saya gembira dapat beraksi dengan pemain seperti Ozil, kerana semua orang mengetahui dia adalah seorang pemain yang berkelas dunia.”
”Tidak silap saya dia membantu dalam jaringan pertama dan kedua (bertemu AC Milan). Mengapa tidak? Dia boleh memberikan bantuan jaringan kepada saya dan saya juga boleh membantu dia.”
Dalam pada itu, pemain antarabangsa Armenia ini tidak mahu membandingkan peluang Arsenal untuk meraih kejuaraan Liga Europa dengan kejayaan beliau membantu kelab lamanya, Manchester United menjuarai saingan yang sama musim lalu.
”Ianya masih terlalu awal untuk membuat perbandingan dengan Manchester United, tetapi saya boleh mengatakan bahawa saya berasa selesa, keadaan di sini bagus dan pasukan juga berada dalam keadaan bagus serta semuanya baik-baik sahaja.”
”Saya sangat fokus dalam bola sepak dan mahu membantu Arsenal. Perjalanan ke perlawanan akhir masih panjang dan banyak lagi perlawanan untuk dilalui. Kami perlu kekal fokus pada setiap perlawanan.”