Pahang menamatkan saingan Liga Malaysia pada musim ini tanpa sebarang kejuaraan.
Ia bagaikan badi bagi skuad Tok Gajah di separuh akhir, apabila sebelum ini pernah turut tersingkir di peringkat sama di pertandingan Piala FA – ditewaskan Perak – walaupun dilihat sebagai pasukan yang memiliki kelebihan.
Seri 5-5 (8-8 secara agregat) dengan Kedah pada Sabtu lalu, Pahang sekali lagi terpaksa menggigit jari kerana kempunan ke final.
Antara yang menjadi mangsa cemuhan oleh penyokong selepas tersingkirnya Pahang adalah penjaga gol berusia 36 tahun, Helmi Eliza.
Melalui satu muat naik melalui akaun Instagram, Helmi mengakui tidak gembira dengan prestasi yang ditampilkan dan memohon maaf kepada semua pihak termasuk penyokong, barisan kejurulatihan dan juga keluarga.
Namun demikian beliau seperti sedikit terkilan dengan reaksi penyokong yang menghamburkan kata-kata berbentuk cacian
“Terima kasih menjulang saya ketika performance saya memuaskan hati anda semua dan terima kasih untuk semua cacian makian anda ketika saya sendiri kecewa dgn performance saya,” ujar beliau seperti kecewa.
“Bookie? Rasuah? Saja-saja lepaskan? Semua ini tak kayakan saya serta keturunan saya di dunia dan akhirat.
“Sekali lagi saya minta maaf untuk kesilapan saya,” tambah beliau
Helmi Eliza adalah penjaga gol kelahiran Alor Setar, Kedah dan pernah menyarung jersi Lang Merah pada 2002 sehingga 2012. Beraksi bersama Pahang sejak tiga tahun lalu, penjaga gol veteran ini pernah mengecapi kejayaan di Piala Malaysia, Piala FA, dan Liga Super bersama negeri kelahirannya itu.
Tahun lalu, Helmi Eliza membantu Pahang bergelar juara Piala FA apabila Pahang menewaskan Selabgor 2-0 di perlawanan akhir.