Di Twitter sedang tular satu sedutan video pendek aksi pemain sayap UiTM FC, Faris Hafiz Azhar yang berjaya memperdaya dua pemain Selangor FC 2 dengan helah ‘body feints’ dalam aksi Liga Premier 2022, pada Sabtu.
Dalam perlawanan pertama kedua-dua pasukan itu menyaksikan Selangor 2 berjaya menang tipis 1-0 hasil jaringan pemain tengah, S Sharvin pada minit ke-31. Ia kemenangan pertama buat skuad simpanan Selangor.
UiTM sebagaimana yang diketahui membariskan pemain-pemain tempatan yang merupakan pelajar dan bekas pelajar universiti berkenaan. Seperti dimaklumkan oleh Presidennya, Prof. Dr. Mohd. Sazaili Shahibi, pemain adalah di kalangan pelajar diploma, ijazah sarjana muda dan alumni universiti yang mahu mewakili pasukan.
#bolatime #shahalam Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC musim ini tampil dengan 100 peratus pemain tempatan terdiri daripada pelajar universiti itu dalam mengharungi Liga Perdana 2022 yang akan memulakan sepak mula Sabtu ini. https://t.co/cKoAnc9BwE
— Harian Metro (@hmetromy) March 3, 2022
Begitupun, kemenangan Selangor itu mungkin sudah boleh dilupakan. Sebaliknya, ada yang menarik perhatian dalam perlawanan itu dan ia melibatkan pemain UiTM, Faris Hafiz yang melakukan helah bagi melepaskan diri daripada kawalan dua pemain lawan tanpa menyentuh bola itu. Ia teknik ‘dribbling’ dinamakan ‘body feints’.
Darren Goon telah memuat naik sedutan video tersebut dengan ciapan, “Took a dozen replays for me to realize that UiTM’s Faris Hafiz shimmies and takes two opponents out WITHOUT EVEN TOUCHING THE BALL (!).”
Instagram UiTM FC turut dilihat memuat naik video yang sama dengan kapsyen, “Faris Hafiz agility mode on.”
Lihat perkongsian Darren Goon sedutan video helah ‘body feints’ oleh Faris Hafiz yang diciap di Twitternya.
Took a dozen replays for me to realize that UiTM’s Faris Hafiz shimmies and takes two opponents out WITHOUT EVEN TOUCHING THE BALL (!) pic.twitter.com/6V0aXJgWc6
— Darren Goon (@DarrenGoon) March 21, 2022
Teknik ini sangat sinonim dengan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi. Dan beliau melakukannya ke atas ramai bintang bola sepak dunia termasuklah Cesc Fabregas, Paul Scholes, Marcelo dan Patrice Evra.
Melihat kepada komentar kepada video tersebut, jelas ramai yang sangat kagum dengan kebolehan pemain itu. Gerakan seumpama itu sukar untuk diterjemahkan dalam aksi sebenar dengan sengaja. Ia sudah tentu ‘dalam dirinya’. Ini bermaksud, Faris Hafiz memang sudah menguasai kemampuan untuk melakukan teknik itu.
Malah ada antara pemilik Twitter seperti Hafiz Seth menyarankan pemantau bakat untuk melihat pemain ini.
Selain itu, satu perkara lagi yang menarik perhatian tentang Faris Hafiz adalah beliau merupakan antara empat pemain UiTM yang mendapat keputusan dekan dalam peperiksaan semester lepas. Beliau meraih 3.78 GPA untuk pengajian Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi. Ini menunjukkan beliau juga adalah pelajar pintar.
Sebagaimana yang pernah diidamkan oleh bekas pengendali UiTM, Ismail Zakaria untuk melahirkan pemain bola sepak terpelajar, mereka mungkin boleh melalui proses tersebut bermula pada musim ini apabila tidak menggunakan khidmat pemain import. Konsep ini telah lama difikirkan Ismail Zakaria, tiga tahun lalu.
“Objektif saya, mahu jadikan UiTM pengeluar produk pelajar yang bermain bola sepak secara profesional. Kita tidak mahu ambil orang luar main untuk UiTM FC seperti sebelum ini. Itu konsep yang kita nak buat.
“Tetapi, perkara ini bukan sehari dua, ia akan makan masa yang panjang. Asas kena kuat, skuad B-19 kena bagus, skuad Piala Presiden kena bagus, barulah kita akan ada produk yang bagus untuk UiTM.”
Ismail Zakaria, Semuanya BOLA