Quantcast

KAJIAN & FAKTA TEMURAMAH

UiTM FC: Daripada ‘Pemburu’ Terbaik Penyerang Import, Kini Mahu Lahirkan Pemain Profesional Terpelajar

UiTM FC boleh dikatakan ‘pemburu’ penyerang import berkualiti jika dibandingkan dengan sesetengah pasukan-pasukan lain yang acap kali bergelut dengan penyerang import yang dibawa masuk tetapi gagal meledak gol walaupun dibayar gaji mahal.

Boleh dikatakan setiap musim, UiTM FC menyalin pemain import namun kualiti penyerang yang dibawa masuk sangatlah baik. Dan untuk musim ini, mereka memiliki Zarko Korac dan Robert Mendy – kedua-duanya meledak 19 gol, lebih separuh keseluruhan gol.

Apa kelebihan UiTM FC berbanding pasukan-pasukan lain dari segi pemilihan pemain import? Adakah ejen terlibat membawa pemain yang sesuai dengan ‘iklim’ pasukan? Apakah misi pengendalinya, Ismail Zakaria bersama UiTM FC? Semuanya BOLA telah cuba mendapatkan pengendalinya, Ismail Zakaria untuk penjelasan.

Prestasi UiTM FC 2019

Jika diamati, rasanya, musim 2019 adalah musim terbaik UiTM FC sejak menyertai Liga Premier bermula pada musim 2013. Ketika ini, mereka berada di kedudukan ketiga liga, dibezakan hanya 6 mata daripada pasukan di takhta liga, Sabah yang mengumpul 34 mata.

Selain berpeluang mencipta sejarah rekod terbaik mereka, The Lion Troops juga berpeluang untuk meraih promosi ke Liga Super buat kali pertama musim hadapan. Dengan JDT II berada di kalangan 3 pasukan terbaik, UiTM FC masih berpeluang meraih promosi walaupun berada di kedudukan ketiga di penghujung musim.

UiTM FC

FOTO: MFL

Berikut adalah kedudukan UiTM FC sejak 2013:

  • 2013: Kedudukan ke-9 (23 mata)
  • 2014: Kedudukan ke-9 (22 mata)
  • 2015: Kedudukan ke-8 (25 mata)
  • 2016: Kedudukan ke-10 (16 mata)
  • 2017: Kedudukan ke-6 (33 mata)
  • 2018: Kedudukan ke-9 (22 mata)

Prestasi penyerang mereka juga bukan biasa-biasa. Rata-ratanya meledak 10 gol dan lebih kecuali Pavel Purishkin (2016, 8 gol) dan Lucas Pugh (2018, 8 gol). Kedua-dua pemain ini digugurkan awal.

Paling diingati pastinya adalah Akanni Sunday Wasiu yang telah menjaringkan 19 gol untuk berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak Liga Premier 2017 – 8 gol di belakang Guilherme de Paula. Kini beliau sedang beraksi bersama Terengganu FC II.

Perbandingan dengan import pasukan negeri

Jika dibandingkan prestasi penyerang import The Lion Troops dengan beberapa pasukan negeri yang bersaing bersama-sama mereka di Liga Premier, jelas mereka bijak memancing import.

Harus ditekankan, UiTM FC adalah pasukan yang berstatus universiti dan tidak memiliki dana sebanyak pasukan negeri ataupun kelab lain. Jadi, dana yang mereka miliki adalah terhad.

22 daripada 30 gol yang dihasilkan oleh UiTM FC adalah hasil sumbangan pemain import dan 19 daripadanya adalah daripada gandingan penyerang Zarko Korac dan Robert Mendy.

zarko korac, uitm fc

FOTO: UiTM FC

The Lion Troops juga tidak suka-suka ketika’menyalin’ pemain import mereka seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan yang lain atas dasar prestasi suram. Robert Mendy digugurkan ketika jendela kedua perpindahan atas masalah kecederaan panjang.

Berikut adalah pemain import pasukan berstatus negeri atau kelab dan UiTM FC serta jumlah jaringan sehingga kini:

  • UiTM FC: Zarko Korac, Robert Mendy, Adi Said, Maycon Calijuri (22 gol)
  • JDT II: Mohammed Ghaddar, Nicolas Fernandez, Bruno Soares, Lucas Ontivero (14 gol)
  • PDRM: Lee Chang-hoon, Argzim Redzovic, Andrezinho, Patrick Wleh (12 gol)
  • Selangor United: Ezequiel Aguero, Danko Kovacevic, Franklin Anizte, Nikita Pavlenko (5 gol)
  • Terengganu FC II: Bruno Suzuki, Akanni Sunday Wasiu, Serhii Andrieiev, Dechi Marcel (9 gol)
  • Kelantan: Flavio Junior, Raul Tarragona, Mustafa Zazai (7 gol)
  • Negeri Sembilan: Almir Neto, Igor Luiz , Shunsuke Nakatake, Mathius Vila (11 gol)
  • Pulau Pinang: Ezequiel Aguero, Julian Bottaro, Casagrande, Kang Seung-jo, Ndumba Makeche, Sebastien Thuriere (18 gol)
  • Sabah: Rodoljub Paunovic, Luiz Junior, Luka Milunovic, Aguinaldo Veiga, Park Tae-soo (15 gol)
  • Sarawak: Hudson Dias, Pedro Henrique (6 gol)

Semua disebabkan pemain import

Ketika ditanyakan mengenai pemilihan import, ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria menyatakan, beliau akan terlibat secara langsung dan pasukan yang dibentuk ini adalah dengan penglibatannya, “Ya, mesti. Tiada sesiapa ganggu.”

“Mana-mana pasukan yang saya bimbing sebelum ini seperti Selangor, Sime Darby, Kuala Lumpur, saya akan terlibat. Siapa-siapa yang nak pilih pemain mereka, saya tidak ikut,” tambahnya.

Bagi pengendali yang berasal dari Kuala Kedah itu, pasukan Liga Malaysia sememangnya bergantung kepada pemain import dan ini tidak terkecuali dengan situasi di kem pasukannya di Shah Alam.

ismail zakaria, uitm fc

FOTO: Stadium Astro

“Jika gagal beraksi dengan baik, lebih baik pemain tempatan yang main. Itu amaran saya kepada mereka,” jelasnya kepada Semuanya BOLA sambil menyatakan pemain tempatannya belum mencapai tahap terbaik lagi, dengan rata-ratanya adalah pelajar di UiTM.

“Kita berada di kedudukan kedua, ketiga terbaik disebabkan pemain import.  Kebetulannya Robert Mendy pula cedera. Dia yang banyak bantu Zarco jaringkan gol dan makan masa dua bulan untuk pulih. Jadi, kita terpaksa buat perubahan,” tambahnya lagi.

Siapa bawa pemain import?

“Sebelum ini, seperti ketika bersama Sime Darby dan Kuala Lumpur, saya cari sendiri (pemain) kerana pasukan tersebut ada dana,” ujarnya dan turut menyatakan yang dia akan pergi sendiri ke negara pemain tersebut untuk tujuan meninjau bakat.

Antara penyerang import yang pernah dibawanya ke Liga Malaysia adalah seperti Patrick ‘Ronaldinho’ Wleh yang kini bersama PDRM. Bersama Sime Darby, Patrick Wleh menjadi peledak utama mereka dan telah membawa mereka ke pentas final Piala FA 2012.

Bersama UiTM FC, Ismail Zakaria memaklumkan yang mereka tiada kemampuan untuk berbuat sedemikian dan menggunakan ejen bagi tujuan mendapatkan pemain. Tetapi menurutnya, ejen biasanya akan menceritakan kelebihan pemain berbanding kekurangan dan inilah yang perlu diperhalusi oleh jurulatih.

“Mereka akan kata (pemain tersebut) pandai itu ini, boleh jaring gol dari pelbagai sudut dan sebagainya, tetapi tak pandai pun. Ayat-ayat ejen semua ‘cantik’,” ujar pengendali yang digelarkan sebagai pakar ‘pembunuh gergasi’ itu kepada Semuanya BOLA.

Pemain bola sepak profesional terpelajar

Kemasukkan Ismail Zakaria bukan sahaja merubah nasib UiTM FC daripada pasukan pertengahan dan bawahan liga kepada pencabar kejuaraan tetapi juga memberikan objektif baharu buat mereka.

ismail zakaria, uitm fc

FOTO: Stadium Astro

“Objektif saya, mahu jadikan UiTM pengeluar produk pelajar yang bermain bola sepak secara profesional. Kita tidak mahu ambil orang luar main untuk UiTM FC seperti sebelum ini. Itu konsep yang kita nak buat,” ceritanya mengenai misinya ketika ini.

“Tetapi, perkara ini bukan sehari dua, ia akan makan masa yang panjang. Asas kena kuat, skuad B-19 kena bagus, skuad Piala Presiden kena bagus, barulah kita akan ada produk yang bagus untuk UiTM,” jelasnya lagi disamping menjelaskan mahu UiTM gah di mata orang luar kerana mampu lahirkan pemain terpelajar.

Ketika ditanyakan kebersediaan UiTM FC jika layak ke Liga Super musim hadapan, Ismail Zakaria pantas menyatakan skuadnya belum betul bersedia untuk saingan tertinggi bola sepak negara.

“Kalau ada rezeki naik (pangkat), berapa orang yang boleh main? Saya ingat 4, 5 orang sahaja saya boleh bawak ke Liga Super. Kalau ambil pemain luar, tak seronok la, objektif lari,” ulasnya lebih lanjut.

Penutup

Walaupun memiliki penyerang import yang berkualiti seperti Zarko Korac dan sebelum itu, Robert Mendy, Ismail Zakaria dilihat masih memandang serius bakat tempatan yang mahu dihasilkannya bersama UiTM FC dan pastinya ianya dari kalangan pelajar sendiri.

Sebagai ‘pemburu’ penyerang import yang bagus, The Lion Troops masih tidak meminggirkan pemain muda yang terdiri daripada pelajar-pelajar UiTM sendiri dan untuk musim ini, gandingan mantap kedua-duanya telah melonjak kedudukan mereka.

Baginya, UiTM FC masih memerlukan tempoh masa setahun atau dua tahun lagi sebelum mampu mengetuk pintu Liga Super secara serius dengan berbekalkan pemain-pemain muda tempatan yang berbakat, lebih matang dan bersedia dalam segala aspek bersama pemain serta penyerang import yang berkualiti.