Sebuah portal bola sepak Korea Selatan mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin hampir untuk mendapatkan jurulatih dari negara itu untuk menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu.
Melalui laporan secara eksklusif Football Asian telah mendedahkan badan induk bola sepak negara itu sebelum ini telah menghubungi beberapa calon dari Korea Selatan sebagai pengganti Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan pada awal Januari lalu.
Pilihan itu kini dipercayai terhad kepada dua calon selepas calon-calon lain dikatakan menolak tawaran oleh FAM.
Sebelum ini wartawan Astro Arena mendedahkan FAM memiliki empat calon dari Korea Selatan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih pasukan negara.
Jurulatih dari Korea Selatan jadi pilihan FAM. Difahamkan, Ketua Jawatankuasa Penyeliaan skuad kebangsaan Korea Selatan Kim Pan-Gon yang juga bekas jurulatih Hong Kong jadi pilihan ketika Park Jin-Seop, Kim Hak-Bum dan Kim Byung-Soo turut dicadangkan jadi calon pengendali negara.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 15, 2022
Selain Kim Pan-gon dan Kim Hak-bum, dua lagi jurulatih yang dikatakan di bawah radar FAM sebelum ini adalah Park Jin-Seop dan Kim Byung-Soo.
Park Jin-seop kini adalah pengendali skuad kedua Jeonbuk Hyundai Motors, manakala Kim Byung-soo pula tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas dipecat oleh Gangwon FC pada musim lalu. Kedua-dua calon dipercayai telah menolak kemungkinan untuk bergelar ketua jurulatih pasukan negara yang baharu.
Ini menjadikan dua calon yang kini masih berkemungkinan untuk diumumkan sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya menurut Football Asian adalah Kim Pan-gon dan Kim Hak-bum.
According to sources, #Malaysia approached a number of South Korean coaches. Finally, remain on the candidate list are Kim Hak-bum, former #headcoach of the Tokyo Olympics in #SouthKorea, and Kim Pan-gon, former Hong Kong Head Coach. https://t.co/zMhJLq0faf
— Han June Football-Asian.com (@holazuni) January 17, 2022
Calon utama pilihan FAM dipercayai adalah Kim Pan-gon yang merupakan bekas pengendali Hong Kong. Beliau turut dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu.
Kim Pan-gon kini adalah ketua komuniti jawatankuasa khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang betanggungjawab melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.
Kim Hak-bum pula adalah jurulatih yang bertanggungjawab membawa skuad Korea Selatan – turut membariskan Son Heung-min mememangi pingat emas Sukan Asia pada 2018.
Dua tahun kemudian beliau membawa Korea Selatan muncul juara Piala AFC B-23.