Juara bertahan, Manchester City akhirnya bertemu ‘buku dengan ruas’ apabila rekod tanpa kalah yang berjaya diraih sepanjang 15 perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/19 ini lebur ditangan Chelsea.
N’Golo Kante dan David Luiz muncul sebagai wira The Blues selepas masing-masing meledak satu gol untuk membawa pasukan meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan kelab asuhan Pep Guardiola terpaksa menelan kekalahan pertama dan menyebabkan mereka jatuh ke tangga kedua kedudukan liga.
Empat penyokong dikenakan hukuman
Kejayaan Chelsea menewaskan City itu amat bermakna kerana berjaya mengubati kekecewaan musim lalu setelah kelab London tersebut gagal meraih kemenangan pada musim lalu.
Pun begitu, kejayaan di Stamford Bridge pada Ahad lalu sedikit tercalar dek kerana insiden yang melibatkan segelintir penyokong The Blues yang mengeluarkan cemuhan berbaur perkauman terhadap pemain Manchester City, Raheem Sterling.
Chelsea bagaimanapun telah berjaya mengenalpasti empat penyokong tersebut dan telah mengenakan hukuman penggantungan sementara buat mereka – sehingga siasatan oleh pihak berkuasa selesai dijalankan.
Hazard kecam sikap perkauman
Bintang Chelsea, Eden Hazard turut mengecam tindakan penyokong yang rasis itu dengan menyifatkan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku di Chelsea.
Menurut Hazard seperti yang dilaporkan Evening Standard, beliau berpendapat sikap penyokong yang rasis itu bukanlah sikap peminat Chelsea yang sebenar.
Bagi Hazard mereka hanyalah peminat biasa yang hanya datang ke stadium untuk menonton perlawanan.
“Pada masa ini, kelab sedang melakukan siasatan, mereka (para pelaku) mewakili diri mereka sebagai penyokong, tetapi bagi saya mereka bukan penyokong sebenar.”
“Penyokong sebenar hanya akan menyanyi untuk Chelsea dan menikmati permainan ini,” tambah pemain berusia 27 tahun itu.
Hazard: "I support Raheem Sterling" pic.twitter.com/x2JwwmcDmd
— Football Daily (@footballdaily) December 11, 2018
Sokong Sterling
Hazard akui Sterling adalah seorang pemain yang hebat. Beliau turut memberikan sokongan moral buat pemain England tersebut dan berharap insiden seperti itu tidak berulang lagi.
“Hanya satu hal yang dapat saya katakan, iaitu saya akan memberikan sokongan [menentang isu perkauman] kepada Raheem Sterling.”
“Beliau adalah pemain yang sangat menakjubkan. Tindakan rasis seperti ini tidak boleh terjadi lagi,” tegas Hazard.