Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Jenis Penyokong Harimau Malaya Sepanjang Piala AFF Suzuki 2018

Kejohanan Piala AFF Suzuki adalah kejohanan bola sepak khusus untuk negara-negara Asia Tenggara yang diadakan secara dwi tahunan. Setiap kali kejohanan ini tiba, maka setiap kali itulah penyokong-penyokong bola sepak di dalam negara dilanda demam bola.

Menariknya untuk edisi kejohanan tahun ini, setiap pasukan yang mara ke pusingan akhir turut berpeluang menjadi tuan rumah sebanyak dua kali di peringkat kumpulan. Ini menjadikan kejohanan edisi ke-12 ini semakin hangat dirasai – turut dibantu kemaraan pasukan negara ke perlawanan akhir.

Berikut kami senaraikan jenis-jenis penyokong Harimau Malaya sepanjang kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 ini berlangsung.

Bangsa stadium

Bangsa stadium adalah golongan penyokong yang wajib hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara. Ini bermakna golongan ini pasti akan mendapatkan tiket untuk menghadiri perlawanan di stadium sejak dari perlawanan pertama peringkat kumpulan lagi.

Sekiranya berpeluang dan mempunyai kemampuan, mereka juga tidak teragak-agak untuk hadir ke stadium di luar negara semata-mata untuk menzahirkan sokongan mereka. Kategori penyokong sebegini turut boleh kita gelar sebagai penyokong setia yang sanggup berkorban apa sahaja.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Bangsa final

Ada sebabnya mereka digelar ‘bangsa final’ – tetapi janganlah dipersoalkan sebab mereka memilih sedemikian. Seperti peminat sukan bola sepak yang lain, bangsa final bukan tiba-tiba menjadi ‘kaki bola’. Namun kehadiran mereka ke stadium adalah ketika perlawanan-perlawanan penting – seperti di perlawanan akhir atau pusingan kalah mati sahaja. Apa pun sebabnya, kami berpendapat mereka mempunyai alasan yang rasional untuk berbuat demikian.

Pertama, kemungkinan hari perlawanan diadakan pada hari bekerja. Bagi mereka yang bekerja berdasarkan jadual kerja shift, sudah tentu sukar untuk memohon cuti. Atau mungkin kerana mereka mempunyai kekangan lain seperti jarak perjalanan dan kos. Bayangkan sahaja penyokong yang hadir dari Sabah atau Sarawak. Kerana itu, mereka hanya akan hadir di perlawanan-perlawanan terpilih sahaja.

Bangsa away-days

Sekiranya anda mengikuti perjalanan pasukan negara di kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 – sejak dari hari pertama lagi, anda pasti mendapati skuad Harimau Malaya turut mendapat sokongan dari rakyat Malaysia di stadium lawan. Kemboja, Vietnam dan Thailand adalah antara destinasi di mana kehadiran mereka sudah pun dirasai.

Mereka hadir demi memastikan pasukan negara tidak bersendirian berjuang di atas padang. Seperti juga ‘kaki stadium’ di kategori pertama, kumpulan penyokong away-days juga adalah antara kumpulan penyokong paling bersemangat dan patriotik.

Kebanyakan dari penyokong yang berada di dalam kategori ini adalah dari kalangan kumpulan penyokong Ultras Malaya. Ada juga di antara mereka yang terdiri daripada penyokong biasa – turut menzahirkan sokongan di tempat lawan kerana ‘gian’ selepas merasai sendiri pengalaman berbuat demikian sebelum itu.

Kredit: UM’07, Facebook.

Bangsa TV

Bagi kategori ini, mereka mempunyai pelbagai sebab untuk lebih selesa menonton perlawanan di hadapan kaca televisyen. Pertama mereka mungkin gagal mendapatkan tiket perlawanan yang terhad. Kedua, kerana menonton perlawanan melalui kaca televisyen di rumah lebih selesa kerana tidak perlu berasak-asak di stesen LRT atau stadium.

Kami pasti, di kalangan mereka pasti ada yang mempunyai perasaan iri hati melihat perkongsian rakan-rakan yang berada di stadium melalui aplikasi media sosial. Bagi kategori penyokong sebegini, kami sarankan anda untuk menyertai mana-mana live view yang diadakan bersama rakan-rakan yang lain agar tidak ketinggalan kemeriahan. Nak menonton dari rumah pun tak salah. Apa kata anda ajak rakan-rakan ke rumah, adakan BBQ sambil menonton perlawanan akhir kedua nanti.

Mungkin ini satu-satunya mamak yang leka tengok bola ketika bekerja (Kredit: The Star Malaysia)

Bangsa ikut musim

Kumpulan penyokong bola sepak yang terdiri dari ‘bangsa ikut musim’ ini mungkin adalah penyokong bola sepak yang paling ramai di kalangan rakyat Malaysia. Apabila tiba musim Piala AFF, maka mereka juga ikut demam Piala AFF. Padahal sebelum ini perlawanan-perlawanan antarabangsa yang lain, golongan ini tidak pernah menunjukkan minat pun untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara.

Bangsa ikut musim ini juga sebenarnya bukan wujud ketika saingan antarabangsa sahaja. Dalam saingan liga domestik pun ramai. Misalnya di awal saingan Liga Malaysia nanti, merekalah yang akan berpusu-pusu beli jersi, datang stadium dan sebagainya. Lepas lima perlawanan, mereka hilang. Janganlah kita menjadi penyokong kategori ini. Kerana kalau bukan kita sebagai ‘bangsa bola’ yang akan memeriahkan scene¬†bola sepak tanah air, kepada siapa lagi harus kita harapkan.

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Rumusan

Apa pun jenis kategori anda seperti yang dinyatakan di atas, pasukan negara memerlukan sokongan setiap daripada anda untuk baki 90 minit perlawanan di Hanoi pada malam esok.

Tidak payahlah kita bertelingkah – mendakwa diri penyokong yang lebih baik dari yang lain. Musuh sebenar bukannya dari rakan penyokong yang ke stadium, di hadapan TV atau yang hadir di final sahaja – tetapi golongan yang gemar mengambil kesempatan seperti ulat tiket.

Esok akan tiba harinya. Tanpa mengira di mana anda berada, pakaikan jersi pasukan negara dengan perasaan bangga, angkatlah bendera Malaysia atau mafla Harimau Malaya – kerana anda adalah ‘Ekor’ Harimau Malaya sejati!