Tempoh hari, kami mendedahkan laporan Telegraph mengenai salah laku Sam Allardyce yang cuba membantu sebuah firma untuk melanggar peraturan perpindahan pemain yang ditetapkan oleh England FA.
Hasil daripada pendedahan Telegraph itu membuatkan Allardyce meletakkan jawatan sebagai pengurus England.
Laporan Telegraph juga mendedahkan terdapat ramai lagi pengurus kelab Premier League dan English Championship terlibat dalam kes percanggahan kepentingan (conflict of interest).
Salah satunya adalah pengurus Queens Park Rangers (QPR), Jimmy Floyd Haseelbaink.
Bersekongkol dalam hal urusan perpindahan pemain
Dalam laporan tersebut, Hasselbaink melakukan perjanjian dengan wartawan Telegraph yang menyamar sebagai wakil firma Asia untuk menjadi duta kepada firma itu.
Sebagai duta, Hasselbaink perlu terbang ke Singapura untuk menyampaikan ceramah kepada pelabur firma tersebut.
Sebagai pulangan, firma tersebut akan menjual pemain kepada kepada kelab Hasselbaink iaitu QPR.
Apa yang dilakukan oleh Hasselbaink ini telah melanggar etika kerjanya sebagai pengurus.
Hal ini kerana beliau akan menggunakan bajet perpindahan pemain QPR untuk membeli pemain yang ditawarkan oleh firma terbabit.
Bayaran yang tidak mencukupi
Pada mulanya, wakil firma telah menawarkan Hasselbaink sekitar £35,000-45,000 kepada beliau. Namun beliau tidak gembira dengan tawaran tersebut.
“Cuba buat saya gembira dengan jumlah wang tu? £35,000 tu sikit sangat.”
Apabila ditawarkan dengan jumlah sebanyak £55,000, Hasselbaink ternyata gembira dengan tawaran tersebut.
“£55,000? Macam ini lah yang saya nak!”
Hasselbaink juga menetapkan bayaran yang lebih tinggi perlu diberikan jika firma itu mahukan beliau berada di Singapura lebih lama untuk menyampaikan ceramah.
Bayaran tinggi itu adalah sebagai ganti rugi buat Hasselbaink kerana terpaksa menghabiskan tempoh rehat antarabangsa untuk menyampaikan ceramah.
Sepatutnya pada tempoh itu beliau banyak menghabiskan masa bersama-sama keluarga.
Hasselbaink terdesak
Bagi Hasselbaink, tawaran £55,000 yang datang itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
Dalam pertemuan antara beliau dengan wakil firma itu, hadir juga seorang agen bola sepak iaitu Scott McGarvey.
McGarvey memberi jaminan bahawa beliau akan memberikan pemain terbaik kepada Hasselbaink serta segala urusan perpindahan pemain akan dijalan dengan baik lagi teratur.
Agen tersebut juga mengatakan dimana beliau dan wakil firma tersebut akan uruskan hal-hal dalaman.
“Kami akan uruskan segala urusan dalaman. Jadi Encik Hasselbaink tidak perlu pening kepala pasal itu.”
“Saya boleh pergi ke mana saja di dunia untuk dapatkan pemain berkualiti. Dan saya pun dah ada senarai pemain yang hendak dibincangkan bersama dengan Encik Hasselbaink. Encik nak penyerang bukan?”
Hasselbaink dikatakan amat memerlukan penyerang baru. Di samping beberapa pemain di posisi lain.
Nafi ada salah laku
Apabila laporan The Telegraph ini terdedah kepada umum, Hasselbaink menafikan perbincangan beliau dengan firma Asia tersebut menyalahi undang-undang.
Baginya, tindakan pengurus Eropah terbang ke Timur Tengah untuk menyampaikan ceramah adalah perkara yang normal.
Jurucakap Scott McGarvey pula mengatakan tindakan mereka menjemput pengurus kelab bola sepak di England ke Timur Tengah untuk memberi ceramah dan berikan mereka ganjaran bukan satu kesalahan.
Ia cuma memberikan peluang kepada pelabur dari Asia untuk mewujudkan hubungan korporat dengan pengurus itu secara peribadi. Bukannya dengan kelab.
Berkenaan kes ini, QPR telah pun melancarkan siasatan dalaman. Dan mereka menyatakan keyakinan bahawa pengurus mereka tak bersalah.
Baca juga: Allardyce ‘Kantoi’ Salah Guna Kuasa, Bantu Orang Luar Langgar Peraturan England FA & FIFA