Legenda Chelsea, Jimmy Floyd Hasselbaink menyeru supaya Frank Lampard memberikan peranan buat Timo Werner sebagai penyerang berbanding meletakkan pemain kelahiran Jerman itu di bahagian sayap.
Werner sudah mula menunjukkan kualiti hebat dimilikinya sekali gus membuka akaun jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berjaya meledakkan dua gol ketika The Blues terikat 3-3 bertemu Southampton di Stamford Bridge, Sabtu lalu.
Ia juga turut menamatkan penantian Werner yang ketandusan jaringan pada empat perlawanan awal dalam kempen liga paling popular di dunia itu.
Sehubungan dengan perkembangan terbaharu itu, Hasselbaink yang berjaya menjaringkan 87 gol sepanjang empat musim bersama Chelsea memberikan sebab mengapa beliau melihat Werner tenggelam di bahagian sayap dan sebenarnya adalah seorang penyerang ideal.
”Ya, dia sangat tajam [di hadapan pintu gol]. Dia melepasi kawalan pertahanan lawan dengan begitu mudah dan hanya ada satu perkara dalam mindanya iaitu meledakkan rembatan.”
”Dia bukan seorang pemain yang gemar untuk membelakangi [kedudukan badan] pintu gol. Dia suka untuk melihat pintu gol dan melakukan larian pantas.”
”Saya suka melihatnya beraksi sebagai penyerang tengah tetapi tidak ketika dia beraksi di sayap kiri,” ujar Hasselbaink menurut laporan Goal.
”Dia mengetahui kekuatannya dan dia mahu untuk melakukan larian ke arah pertahanan tengah pasukan lawan.”
”Bagi saya, apa yang saya melihat tentang kualitinya, juga bersama Jerman, dia merupakan penyerang sejati dan dia tidak kisah bagaimana cara dia masuk ke dalam kawasan penalti, dia hanya mahu untuk menjaringkan gol,” tambah Hasselbaink lagi.
Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty
Baca artikel lain dari kami mengenai Timo Werner:
Ralph Hasenhuttl: Timo Werner Bakal Jadi Senjata Ampuh Buat Chelsea
Timo Werner Kata ‘Keputusan Terbaik’ Untuk Tolak Lamaran Liverpool