Skuad Harimau Malaya kini sudah boleh melupakan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi kelayakan Piala Dunia yang bermula pada bulan Jun ini.
Hal ini kerana Lee Tuck masih gagal mengemukakan dokumen lengkap untuk membuktikan beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia sekaligus merumitkan proses pendaftaran pemain itu sebagai pemain tempatan.
Perkembangan itu turut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi yang menjelaskan pihaknya terpaksa menangguhkan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain itu kerana perlu mendapatkan dokumen lengkap membabitkan status neneknya yang dikatakan berasal dari Malaysia.
Bagaimanapun, terdapat satu lagi cara yang membolehkan beliau menyarung jersi negara iaitu melalui proses pendaftaran sebagai pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh mengikut peraturan FIFA.
Menurut ejen Tuck yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, pemain kelahiran England itu perlu menunggu dua tahun lagi jika mahu didaftarkan sebagai pemain naturalisasi.
“Tuck selepas tempoh itu (Jawatankuasa Program Natusalisasi FAM) hingga tamat tak dapat kemukakan bukti (mengenai hubungan dengan Malaysia).
“Saya yang membantunya dalam proses (mengumpulkan maklumat). Buat masa ini kita lupakan dulu hingga dia dapat dokumennya itu.
“Tapi kalau tak dapat kita ada cara lain iaitu memohon sebagai pemain naturalisasi namun dia kena tunggu lagi dua tahun untuk cukupkan lima tahun berada di negara ini,” katanya kepada Arena Metro.
Pada Disember lalu, Tuck menyuarakan hasrat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan terutamanya selepas tertarik aksi Sumareh di saingan Piala AFF.
“Dia sudah bermain di negara ini selama tiga tahun. Saya percaya dia mungkin boleh kekalkan prestasinya sehingga cukup lima tahun di sini.
“Bagi saya, Tuck seorang pemain yang positif dan sentiasa mengambil berat tentang kecergasan diri. Cuma kita tak boleh nak jangka apa yang akan berlaku di masa depan tetapi sebagai pemain profesional dia tahu bagaimana untuk mengekalkan kecergasan dan prestasinya,” katanya.
FAM kini sudah mempunyai beberapa calon terbaik untuk didaftarkan sebagai pemain naturalisasi kedua negara selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh.
Antara pemain yang dikatakan bakal memperkuatkan skuad kebangsaan ialah bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan penyerang import UKM FC, Michael Ijezie.