Tandukan oleh Harry Winks di masa kecederaan memastikan Tottenham Hotspur bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran, Fulham di Craven Cottage pada awal pagi tadi.
Spurs pada mulanya kelihatan akan terus ketinggalan di carta liga kepada Liverpool, pada hari segalanya seperti serba tidak kena setelah Dele Alli turut sah mengalami kecederaan di babak akhir perlawanan.
Namun Harry Winks muncul wira Spurs dengan jaringan melalui tandukan pada minit ke-93 perlawanan, untuk menewaskan Sergio Rico dari jarak dekat.
Fulham cemerlang babak pertama
Fulham kendalian pengurus dari Itali, Claudio Raneiri beraksi dengan cemerlang pada babak pertama perlawanan apabila merekodkan sembilan percubaan ke arah gawang lawan – dan berjaya mendahului perlawanan melalui gol sendiri penyerang Spurs, Fernando Llorente.
Llorente tampil di barisan kesebelasan utama di Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Spurs pada musim ini untuk menggantikan Harry Kane yang mengalami kecederaan.
Namun penyerang dari Sepanyol itu tidak sengaja menolak masuk bola ke gawang sendiri dalam usaha untuk mengeluarkan bola dari zon bahaya setelah sepakan sudut oleh Jean Michael Seri untuk Fulham pada minit ke-17 perlawanan.
Lima minit kemudian, tuan rumah menyaksikan jaringan Aleksandar Mitrovic dibatalkan kerana offside, untuk menafikan Fulham pendahuluan berganda.
Spurs bangkit
Ketinggalan satu gol, Spurs bangkit pada babak kedua perlawanan dan menyamakan kedudukan melalui Dele Alli pada minit ke-51.
Alli kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-87, dan Mauricio Pochettino sudah tentu mengharapkan tiada apa yang serius selepas turut sudah kehilangan khidmat Kane dan Son Heung-Min kerana komitmen antarabangsa.
Winks melengkapkan kebangkitan Spurs pada masa kecederaan dengan tandukan dari jarak dekat setelah menerima hantaran dari pemain gantian, Georges-Kevin Nkoudou.
Kemenangan ini mengekalkan Spurs di tangga ketiga, dan ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool.