Bintang Mesir, Mohamed Salah kini diibaratkan seperti salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman yang pernah menjadikan gelanggang keramat, Anfield sebagai arena. Bagi lawan, kelibat Salah bagaikan mimpi ngeri jika tidak dibendung.
Bekas pemain Liverpool, Harry Kewell berpendapat Mohamed Salah mampu menewaskan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk merebut gelaran Ballon d’Or jika dia berjaya mengekalkan prestasi cemerlang bersama The Reds dan mempamerkan persembahan positif untuk skuad kebangsaan Mesir pada Piala Dunia 2018 Rusia.
Salah menikmati sentuhan terbaik bersama Liverpool pada musim ini termasuk meledak empat gol ketika menewaskan Watford 5-0, sekali gus mengumpul 36 jaringan dalam kesemua kejohanan.
Hanya bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo paling hampir dengan prestasi cemerlang bekas pemain Chelsea itu. Salah kini menjaringkan 28 gol dalam kempen Liga Perdana England (EPL), sekali gus mengetuai senarai penjaring terbanyak dalam lima liga utama Eropah.
Mengulas lanjut, Kewell tidak melihat mengapa pemain berusia 25 tahun itu tidak boleh memenangi gelaran Ballon d’Or sekali gus memecahkan dominasi Ronaldo dan penyerang Barcelona, Messi.
“Salah menikmati musim cukup luar biasa. Ramai orang berkata dia akan memenangi anugerah Pemain Terbaik di England tetapi saya mahu mengatakan dia sudah boleh memenangi trofi lebih hebat daripada itu.
“Jika Salah menunjukkan prestasi cemerlang pada kempen Piala Dunia 2018 dan menjaringkan beberapa gol dalam kejohanan itu kemudian meneruskan lagi sentuhan cemerlang, saya percaya dia mampu menang Ballon d’Or.
“Salah bukan sahaja memiliki keupayaan menjaringkan gol tetapi dia juga memainkan peranan utama membawa Liverpool menikmati prestasi terbaik ekoran persembahan cemerlangnya,” katanya.
Aksi cemerlang Salah bersama Liverpool pada musim ini menjadikan beliau sebagai calon utama untuk anugerah ‘PFA Player of the Year’.
Tetapi Salah seharusnya tahu apakah indikasi sebenar untuk menjadi pemain bertaraf dunia dan dikenang selaku legenda satu hari nanti.