Quantcast

BERITA

Brazil Sedia Beraksi Tanpa Khidmat Neymar

Skuad kebangsaan Brazil terpaksa melupakan khidmat penyerang berbisa mereka, Neymar kerana dilanda kecederaan sewaktu beraksi untuk pasukan Paris Saint Germain dalam saingan Liga Perancis bulan lepas.

Ketika skuad Brazil kesejukan berlatih untuk menghadapi tuan rumah Russia pada perlawanan persahabatan kedua terakhir sebelum Piala Dunia, Neymar pula berada di kampung halaman meraikan hari jadi adiknya kerana masih belum pulih daripada pembedahan kaki kanannya.

Namun rakan sepasukannya tetap fokus di Moscow, yang mana Selecao akan beraksi di Stadium Luzhniki awal pagi Sabtu ini yang diharap menjelmakan kejuaraan Piala Dunia keenam mereka pada 15 Julai depan.

Pengendali Brazil, Tite akan memastikan barisan pemain bintangnya tidak mengulangi kesilapan ketika dibelasah 7-1 di laman sendiri pada 2014 oleh Jerman, yang akan diuji awal pagi Rabu depan.

Separuh akhir empat tahun lalu berlangsung tanpa kelibat Neymar yang cedera dan pertahanan tengah Thiago Silva yang digantung perlawanan.

Kini, sekali lagi Brazil kelihatan longgar di benteng pertahanan kerana kehilangan wira berusia 26 tahun itu.

“Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar adalah pemain yang berbeza. Dia salah seorang daripada tiga terbaik di dunia,” kata Tite.

“Tapi pasukan yang kuat tidak boleh bergantung kepada nama-nama tertentu.”

Tanpa Neymar, Tite kini mengharapkan sayap kiri Juventus, Douglas Costa untuk mengisi kekosongan itu.

Kredit: Photo by Daniele Badolato – Juventus FC/Getty Images

Pemain berusia 27 tahun itu berada di kemuncak kariernya selepas menghabiskan sebahagian besar daripadanya di Ukraine bermain dengan Shakhtar Donetsk.

“Menggantikan Neymar adalah cabaran yang cukup besar, tapi kami mempunyai ramai pemain handal dalam pasukan yang berbakat besar,” kata Costa.

“Ketiadaan Neymar membuka ruang buat pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka, menampilkan persembahan terbaik mereka.”

Costa akan bergandingan dengan pemain sayap Chelsea, Willian dan penyerang Gabriel Jesus yang meledak 11 gol bersama Manchester City musim ini.