Berita mengenai pemain muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi
mendapat panggilan untuk menyertai skuad England buat kali pertama bagi aksi kelayakan Euro 2020 disambut baik oleh ketua pasukan, Harry Kane.
Bagi Kane, beliau yakin pemain berumur 18 tahun itu akan tetap bersinar meskipun jarang diberi kesempatan tampil dalam kesebelasan utama The Blues.
Prestasi cemerlang yang ditampilkan Hudson-Odoi bersama Chelsea telah berjaya menarik minat Gareth Southgate untuk menyenaraikan pemain itu ke dalam skuad kebangsaan England – selepas rakan sepasukannya di Chelsea, Ruben Loftus-Cheek dan pemain Manchester City, Fabian Delph serta John Stones menarik diri kerana mengalami kecederaan.
Puji kualiti Hudson-Odoi
Musim ini, Hudson-Odoi hanya berpeluang bermain 19 perlawanan bersama Chelsea. Namun, beliau telah berjaya menjaringkan lima gol.
Hal ini membuatkan Kane amat teruja apabila mengetahui nama Hudson-Odoi disenaraikan oleh Southgate. Beliau turut percaya pemain muda itu mampu membuktikan kemampuan beliau bersama The Three Lions.
”Penting bagi pemain muda untuk bermain dan mendapatkan pengalaman. Semuanya tahu bahawa dia [Hudson-Odoi] adalah pemain yang menakjubkan.”
“Dalam bola sepak, anda akan melalui masa naik turun dan itu semua adalah sebahagian dari perjalanan.”
“Saya yakin dia akan mengalami perkara sebegitu dalam beberapa tahun akan datang. Tetapi saya tidak meragui bahawa dia punya kemampuan untuk bermain di peringkat tertinggi,” kata Kane.
Tambah Kane lagi, “Dia datang dan mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang. Dia kelihatan seperti amat gembira dan menikmati latihan di sini. Dia telah menjaringkan beberapa gol dalam latihan.”
“Kami teruja untuk memilikinya. Semua orang berjuang untuk mendapat tempat di pasukan England dan saya yakin dia melihat ini sebagai peluang untuk dirinya sendiri.”
Pemain muda
Selain Hudson-Odoi, ramai lagi pemain muda berbakat England yang perlu diberikan perhatian. Jadon Sancho antara salah seorang daripadanya. Bintang muda Borussia Dortmund itu tampil cemerlang bersama kelabnya di Bundesliga.
“Para pemain muda tidak takut untuk menampilkan diri mereka sendiri serta bermain satu lawan satu – terutama ketika situasi menyerang pemain pertahanan. Mereka cuba menunjukkan kelebihan, sentiasa mencuba mencetak gol,” kata penyerang Tottenham tersebut.
“Itulah yang kami inginkan. Dalam satu pasukan kebangsaan, kami ingin memiliki bakat dan fizikal seperti itu. Ini adalah petanda baik bahawa negara ini [England] berjaya melahirkan ramai bakat pemain-pemain seperti ini.”