Pengulas Sky Sports, Paul Merson menekankan yang penyerang, Harry Kane perlu memikirkan untuk meninggalkan Tottenham selepas musim ini berakhir.
Ini berikutan, bekas pemain England itu merasakan yang kapten terkini The Three Lions itu tidak akan menjadi pemain yang hebat di bawah kendalian Jose Mourinho dan dalam aksi berdepan Man United semalam, Harry Kane jelas nampak bergelut.
Malam terburuk Harry Kane
Harry Kane beraksi 90 minit ketika Tottenham diikat Man United dengan keputusan 1-1 dan mengikut statistik yang dikeluarkan WhoScored, penyerang yang baru pulih daripada kecederaan itu dilihat telah melalui malam terburuk dalam kariernya.
Bekas penjaring terbanyak English Premier League (EPL) dua musim berturut-turut (2015/16 dan 2016/17) itu dilihat tumpul selain hanya melakukan 36 sentuhan – terendah dikalangan pemain yang beraksi 90 minit dengan rekod sentuhan terendah.
Selain itu, Harry Kane hanya berjaya membuat satu percubaan – yang telah dihalang, dan melakukan 15 hantaran berkesan daripada 25 hantaran selain tiada gelecekan yang berjaya dilakukan serta tiada key passes yang berjaya dijelmakannya.
Walaupun dilihat semakin merosot minit demi minit sepanjang aksi, pengendali, Mourinho dilihat tidak mengambil langkah terbaik dengan mengeluarkannya malah dilihat tidak memanfaatkan lima pertukaran pemain yang dibenarkan.
Paul Merson risaukan Harry Kane
Paul Merson percaya yang Harry Kane tidak akan berjaya menyamai pencapaiannya musim lalu dan juga musim sebelum-sebelum ini, sekiranya Mourinho terus berada di sana. Sejak kehadiran pengendali tersebut, Merson jelas risaukan penyerang itu.
“Dia bermain di bawah [Mauricio] Pochettino dan Tottenham bermain dengan sangat baik. Mereka jaringkan banyak gol, mereka hasilkan banyak hantaran lintang dan juga percubaan ke arah gol lawan,” ujar Merson di dalam rancangan di Sky Sports itu.
“Dia bermain di atas berseorangan dan ianya sangat membebankan. Akhirnya dia terpaksa melakukan hantaran 60 ela, semata-mata mahu terlibat dalam permainan dan itu bukanlah Harry Kane yang kita ketahui sebelum ini,” tambahnya.
“Dia tidak cergas. Dia sememangnya tidak cergas, mereka bermain dengan 10 pemain sepanjang perlawanan. Saya sendiri tidak ingat berapa sentuhan yang dilakukannya sepanjang perlawanan tadi,” tegas Merson mengenai prestasi pemain tersebut.
Harry Kane dahaga trofi kejuaraan
Sekitar Mac lalu, bercakap kepada Jamie Redknapp dalam satu sesi Instagram Live, Harry Kane dipetik berkata yang beliau mungkin terpaksa meninggalkan kelabnya, Tottenham, jika mereka gagal memenangi sebarang trofi dalam masa terdekat.
Ini yang menyebabkan muncul khabar angin yang Man United mula cuba memancing penyerang yang meraih gelaran penjaring terbanyak Piala Dunia 2018 itu. Pelbagai gelaran individu sudah dimenanginya, kini beliau dahagakan kejayaan berpasukan.
Walaubagaimanapun, Harry Kane baru-baru ini dilaporkan memahami kehendak kelab yang akan mengekalkan semua pemain dan tidak akan meninggalkan kelab di jendela perpindahan selepas ini dek kerana pandemik yang melanda dunia saat ini.
“Saya rasa dia perlu pertimbangkannya selepas musim ini berakhir. Saya rasa dia perlu. Dia tidak akan mencapai 25 ke 30 gol seperti selalu dengan cara Mourinho mahukan dia bermain ketika ini,” tegas Merson lagi mengenai isu perpindahan pemain itu.
Penutup
Jelas sekali, masa depan penyerang sensasi England dan Tottenham ini akan bergantung kepada kejuaraan yang dimenangi mereka – jika tidak pada musim ini, selewat-lewatnya ia perlu dimenangi pada saingan musim 2020/21 nanti.
Sejauh mana kemampuan skuad kendalian Mourinho ini untuk mengecap kejayaan diragui dengan kelab dilihat tidak akan berbelanja besar di jendela perpindahan dan beliau akan terus menggunakan pemain yang diwarisi daripada Pochettino.
KREDIT FEATURED IMAGE: AP