Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun mengimpikan langkah kanan buat pasukannya pada aksi CIMB Piala Sumbangsih 2020 sebagai hadiah terbaik kepada seluruh peminat di gelanggang keramat terbaharu skuad Harimau Selatan.
Tambah pemain yang berasal dari Singapura ini, semua pemain JDT sudah tidak sabar memulakan kempen musim 2020 dengan kejayaan sambil mengakui tiga mata permulaan sebagai sesuatu yang penting dalam mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh.
Hariss turut mengakui cabaran berbeza bakal dihadapi pasukannya pada aksi sulung yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu.
“Kami bermain dengan Kedah sebelum ini pada penghujung musim lalu (final Piala Malaysia) tetapi ini perlawanan yang berbeza kerana di musim baharu serta di stadium yang baharu.”
“Kedua-dua pasukan fokus dalam mendapatkan tiga mata selain ada trofi yang mahu direbut dan sudah pasti saya mahu menggembirakan peminat kami dengan cuba mengekalkan sekali lagi Piala Sumbangsih di sini.”
“Kedah sentiasa memberikan kesukaran dalam tiap perlawanan dan pada perlawanan esok, saya rasa tidak ada banyak perbezaan tetapi seperti tiap musim, kami akan cuba pamerkan peningkatan dalam setiap aspek, ” ujar Hariss kepada wartawan dalam sidang media di Stadium Sultan Ibrahim.
Musim lalu, Hariss dan JDT berjaya menundukkan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin hasil jaringan tunggal Gonzalo Cabrera pada minit ke-40.
Hariss secara peribadi telah menjulang empat kali kejuaraan Piala Sumbangsih bersama JDT sebelum ini iaitu pada musim 2015, 2016, 2018 dan 2019.
Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)