Kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Razak menegaskan pasukannya tidak akan memandang mudah pada cabaran Sri Lanka meskipun kedudukan ranking FIFA lawannya itu amat rendah.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal menjadikan aksi persahabatan di Stadium Sugathadasa, malam ini sebagai medan untuk memilih barisan terbaik yang akan membawa cabaran negara di Kejohanan Piala AFF bulan depan.
Menurut Zaquan, perlawanan malam ini bukan sekadar perlawanan persahabatan tetapi merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan untuk memastikan mereka lebih bersedia di kejohanan Piala AFF tahun ini.
“Bagi saya dan rakan sepasukan, ini bukanlah satu tugas yang mudah. Walaupun sekadar aksi persahabatan tetapi ia tetap dianggap penting sebagai persiapan ke Piala AFF Suzuki 2018.
“Kita juga berdepan kekangan masa kerana hanya sempat berlatih tiga hari sebelum terbang ke Colombo. Jadi, saya mengharapkan rakan sepasukan dapat segera membentuk keserasian untuk menentang lawan, Jumaat ini (malam esok),” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Berdasarkan rekod perlawanan Sri Lanka di bawah bimbingan Mohamed Packeer Ali, mereka sekadar meraih satu kemenangan dalam tiga aksi persahabatan terakhir yang menyaksikan mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas Bangladesh sebelum tewas 0-2 di tangan India dan terikat tanpa jaringan menentang Maldives.
Zaquan turut menjelaskan pemain yang dipanggil kali ini mempunyai kualiti masing-masing dan ia menjanjikan persaingan yang sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing. Jadi, ia akan memberi impak yang positif kepada pasukan.
“Situasi ini juga memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih untuk membuat eksperimen bagi menurunkan kesebelasan utama terbaik,” katanya.
Selepas aksi di Colombo, skuad negara dijadual berdepan lawan lebih hebat bertemu Republik Krygyzstan yang menduduki ranking 91 dunia di Stadium Hang Jebat, Selasa ini dan satu lagi aksi persahabatan menentang Maldives pada 3 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.